Pembangkang terus pura-pura jadi mangsa – Pengarah Komunikasi AMK

Haziq Azfar Ishak

SHAH ALAM – Penolakan Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan peruntukan oleh Perikatan Nasional (PN) didakwa cubaan menolak sikap kebertanggungjawaban terhadap peruntukan yang hendak diberikan.

Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK), Haziq Azfar Ishak berkata, pembangkang terus berpura-pura menjadi mangsa keadaan tatkala mempunyai pilihan untuk meneruskan rundingan dengan kerajaan.

“Jika pihak pembangkang terus bermain politik, maka kerajaan wajar mempertimbangkan supaya peruntukan tersebut disalurkan kepada Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) bagi setiap kawasan.

“Hakikatnya IKR yang diusahakan oleh Kerajaan Perpaduan merupakan salah satu usaha ‘underrated’ bagi mendemokrasikan dana kerajaan dengan membenarkan orang awam memohon sebarang pembangunan kecil secara terus.

“Bagaimanapun, pasti pembangkang masih berpeluang menamatkan rancangan politik sempit mereka dengan meneruskan rundingan dan melaksanakan kebertanggungjawaban terhadap peruntukan tersebut melalui mekanisme MoU,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada Ahad, PN mengesahkan pembangkang sebulat suara telah membuat ketetapan untuk menolak dua draf MoU daripada kerajaan berkaitan peruntukan kepada Ahli Parlimen PN.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, keputusan tersebut dibuat berasaskan empat sebab utama iaitu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, bertentangan nilai budaya, moral dan agama; boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa serta mengongkong kebebasan.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Fadillah Yusof yang mengetuai perundingan itu berkata, apa yang dikemukakan adalah draf MoU dan beliau mengharapkan pihak pembangkang akan mengemukakan cadangan balas terhadap perkara-perkara yang tidak dipersetujui dalam draf itu

Tambah Haziq Azfar, pembangkang wajar mencontohi semangat rundingan yang dilakukan antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan serta sikap proaktif Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim ketika itu sehingga termeterainya Memorandum Persefahaman Transformasi Dan Kestabilan Politik dua tahun lalu.

“Rakyat tidak lupa sebelum draf MoU diserahkan kepada pimpinan pembangkang pun tiada pimpinan PN mahupun ketua pembangkang hadir berunding sehingga lebih setahun PN berperanan sebagai pembangkang,”ujarnya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply