KOTA BHARU – Angkatan Wanita Amanah (Awan) mempersoalkan tindakan Pas yang mahu menghidupkan kembali Muafakat Nasional (MN) namun bersyarat.
Naib Pengerusi Awan, Dr Hafidzah Mustakim, berkata, pihaknya amat mengalu-alukan penyatuan ummah seperti mana saranan Yang di-Pertuan Agong pada awal-awal semasa pembentukan kerajaan tahun 2022 lalu.
“Isu Pas nak bergabung ni dah lama kita dengar dan sebenarnya ruang terbuka luas, namun secara peribadi kenapa nak pilih-pilih orang atau meletakkan syarat-syarat?
“Itu makna daripada mula lagi sudah tidak betul, bagaimana kesatuan nak dicapai jika awal-awal sudah ada syarat begitu dan begini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui sempena Perarakan Sambutan Maulidur Rasul 1446H dan Hari Malaysia di Taman Hijau, di sini, pada Isnin.
Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan akan terus memujuk UMNO dalam usaha untuk menghidupkan kembali MN yang menyatukan orang Melayu, Islam dan Bumiputera namun dilakukan tanpa pembabitan presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut Dr Hafidzah, bagaimanapun beliau menghormati Abdul Hadi sebagai individu berpengalaman dalam politik yang mempunyai hak dan pandangan tersendiri.
Dr Hafidzah yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kota Lama itu berkata, penyatuan penting dalam sesebuah negara namun perlu dipastikan dasar benar-benar dapat menyumbang kepada pembangunan negara.
“Kita memang perlu kepada penyatuan ummah.
“Tapi dasarnya kena kena betul-betul bertujuan untuk membina perpaduan,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.