KLUANG – Calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar atau ‘Coach Haizan’ gembira dengan penerimaan positif penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota ketika turun berkempen.
Mohamad Haizan berkata, banyak isu disuarakan kepadanya termasuk berkaitan harga barang dan peningkatan kos sara hidup.
“Antara perkara yang diperkatakan ialah harga barang naik dan kos sara hidup tinggi. Rata-rata mereka mahukan perubahan kerana tidak tahan dengan beban tersebut.
“Peniaga makanan kata kos barang mahal, nak meniaga untung RM200 sehari dan nak balik modal pun susah, kalau jual mahal nanti takut orang marah,” katanya.
Beliau berkata demikian di Bilik Gerakan Utama PN PRK DUN Mahkota di Kampung Melayu di sini, pada Ahad.
Menurut bekas pemain pasukan bola sepak Johor FA itu, pengalaman sebagai bekas Ahli Majlis Perbandaran Kluang selama dua tahun sehingga 2022 banyak membantunya ketika kempen.
“Masyarakat juga mengenali saya kerana bertindak Penyelaras Kawasan Rukun Tetangga Zon Kluang sehingga kini.
“Pengalaman itu banyak membantu semasa berkempen dan berdamping dengan rakyat daripada pelbagai bangsa dan peringkat usia,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.