Abdul Hadi tidak ikhlas kerjasama dengan UMNO – Wan Rosdy

Abdul Hadi (kiri), Wan Rosdy

KUANTAN – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak ikhlas selepas menyatakan kesediaan parti itu untuk bekerjasama semula dengan UMNO tanpa perlu melibatkan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, kenyataan tersebut dilihat hanya mementingkan Pas sahaja.

“Saya tidak nampak cadangan kerjasama ini dibuat atas dasar kepentingan Melayu dan Islam.

“Jika Abdul Hadi ikhlas kenapa hendak ketepikan presiden kami. Adakah Abdul Hadi cuba memecahbelahkan UMNO yang semakin hari semakin kukuh,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Ujar Wan Rosdy, UMNO ada ketuanya yang memimpin dan jika Pas berhasrat untuk mengadakan sebarang bentuk kerjasama, seharusnya perlu berbincang dan berunding dengan presiden parti tersebut.

Tegas beliau, tindakan tersebut kerana UMNO meletakkan institusi presiden yang mengetuai parti untuk menentukan arah tuju parti.

“Saya melihat Presiden UMNO berpijak tidak berkisar, bercakap tidak beralih, berani menahan uji, setia tahan dicuba dan taat tahan dilipat,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Wan Rosdy memberitahu, UMNO sentiasa terbuka untuk mengadakan sebarang bentuk kerjasama dengan mana-mana pihak termasuklah Pas.

Tegasnya, kalau Pas benar-benar hendak kembali untuk bekerjasama, ia boleh dilakukan dengan berunding tetapi dengan syarat tidak melibatkan Abdul Hadi.

“Pas jangan masa terdesak sahaja hendak mencari UMNO, hakikatnya sewaktu Muafakat Nasional berlangsung, Pas tidak ikhlas pun untuk bersama UMNO.

“Oleh itu, sebagai Naib Presiden UMNO, saya tidak berminat untuk membuat sebarang perundingan yang membelakangkan ketua saya serta melaga-lagakan ahli-ahli UMNO,” katanya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply