KLUANG – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) giat melakukan persiapan akhir kurang 24 jam sebelum hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, yang berlangsung Sabtu.
Tinjauan Bernama di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini mendapati, pelbagai notis ditampal pada setiap sudut dewan untuk perhatian dan rujukan orang awam, termasuk kepada penyokong parti politik yang dijangka hadir bagi menyatakan sokongan mereka.
Selain itu, turut diadakan sesi simulasi proses penamaan calon, mengambil kira perjalanan proses penamaan calon yang akan berlangsung selama sejam bemula 9 pagi, sebelum nama calon yang layak bertanding diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Azurawati Wahid.
Antara yang dilakukan pada simulasi itu ialah menyusun atur kedudukan mereka yang dibenarkan masuk ke dewan seperti bakal calon, pencadang dan pegawai terlibat mengikut prosedur ditetapkan, serta proses semakan borang dan dokumen berkaitan bagi tujuan PRK tersebut.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini pada 2 Ogos.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 28 September, manakala undi awal pada 24 September.
Pada pilihan raya negeri sebelum ini, Sharifah Azizah yang mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 5,166 undi pada pertembungan empat penjuru dengan calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Warisan. – Bernama
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.