Pecah Recod! 335 Ribu Pengunjung Serbu Rasa Layan Curry Fiesta, Memang Havoc!

Rasa Layan Curry Fiesta x Havoc Food Festival yang berlangsung pada 5-8 September 2024 yang lalu berakhir dengan begitu meriah. Bertempat di Parking B, Setia City Convention Centre, seramai 335,000 pengunjung telah hadir memeriahkan fiesta ini. Warga Setia Alam memang terbaik. Pecah rekod!!

HIMPUNAN PENCINTA KARI

Dengan Slogan Satu Malaysia Layan Kari, Rasa Layan Curry Fiesta merupakan anjuran fiesta kali pertama oleh portal majalah Rasa dengan kerjasama HAVOC, sempena sambutan Hari Malaysia. Fiesta ini menyaksikan lebih 300 hidangan makanan viral dari seluruh negara, termasuk Nasi Kandar, Nasi Briyani, Nasi Arab dan pelbagai hidangan kari lain yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia.

Fiesta ini menjadi himpunan makanan viral terbesar di Malaysia yang menampilkan pengusaha makanan popular seperti Hameediyah, Nasi Kandar Express dan Matha’am serta ramai lagi usahawan makanan yang terkenal di media sosial yang memenuhi selera para pencinta makanan.

Mengapa kari yang menjadi pilihan? Hidangan kari ini merupakan salah satu menu utama dan menjadi pilihan rakyat Malaysia. Kari mampu menyatukan semua. Ia sudah sebati dalam kehidupan kita dan tidak hairanlah ia menjadi pilihan dalam kalangan rakyat Malaysia. Makanan menjadi ejen penyatuan rakyat Malaysia.

Penganjuran fiesta ini merupakan bukti bahawa rakyat Malaysia amat mencintai kedamaian dan keharmonian hidup berbilang bangsa. Makanan mampu menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat.

Antara vendor yang memeriahkan Rasa Layan Curry Fiesta ialah Hameediyah, Nasi Kandar Express, Nasi Daging Kedah Kahaq, Nasi Kebuli, Nasi Kenduri, Nasi Ganja Senah Catering, Gulai Kawah Chaq Catering, Arieni’s Roti Jala & El Ocho, Nasi Kandar Matha’am, VC Venture dan Hubmeal.

PELBAGAI AKTIVITI MENARIK

Selain daripada pesta makanan, pengunjung juga turut dihiburkan dengan pelbagai aktiviti menarik sepanjang empat hari ini. Antaranya termasuklah pameran kereta berhias Hello Kitty, Pertandingan Teh Tarik Kaw Kaw bersama Fakir The Teh Tarik King, Pertandingan Roti Canai Terbang Tinggi bersama Chef Matt, Raja Roti John, Siapa Lagi Power? bersama Kewpie, King & Queen Roti Canai Ekspres Ultra bersama redONE Mobile dan Demo Masakan Kari Sajian Istana & Daging Masak Jintan bersama Jalen.

Pihak Havoc Food Festival turut menganjurkan pelbagai program menarik seperti Majlis Ilmu: Ilmu Apa Hari Ini, Majlis Havoc Berselawat, Meet & Greet, Busking, Clown & Magic Show,Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak, Pertandingan Memanah dan Pertandingan Congkak.

Memang meriah habis Rasa Layan Curry Fiesta ni dengan aktiviti-aktiviti yang disediakan untuk para pengunjung. Paling meriah apabila adik Amsyar menyertai Pertandingan Roti Canai Terbang Tinggi. Skill dan aksi yang ditonjolkan oleh adik Amsyar ni memang memukau para pengunjung. Malah, Chef Matt pun turut terpesona melihat adik Amsyar beraksi di atas pentas. Cukup gamat suasana di tapak pesta!

Pertandingan Raja Roti John, Siapa Lagi Power? bersama Kewpie menyaksikan tiga peserta memasak Roti John yang paling kemas, pantas, kreatif dan menyelerakan menggunakan produk Kewpie. Saingan memang sengit. Semua hidangan nampak begitu menyelerakan! Pemenang menerima produk Kewpie bernilai RM100.

Untuk King & Queen Roti Canai Ekspres Ultra bersama redONE Mobile pula, sebanyak tiga sesi telah diadakan untuk memilih King & Queen Roti Canai. Setiap sesi mempunyai 10 peserta yang terdiri daripada lima lelaki dan lima perempuan. Setiap peserta diberikan lima keping Roti Canai dan hanya lima minit diberikan kepada para peserta. Siapa yang makan Roti Canai paling banyak dalam masa yang telah ditetapkan akan terpilih sebagai King & Queen. Hadiah pun bukan biasa-biasa, pemenang membawa pulang wang tunai bernilai RM300. Memang syok!

Tak lengkap rasanya kalau tiada demo masakan di dalam Rasa Layan Curry Fiesta ni. Rasa turut mengadakan Demo Masakan Kari Sajian Istana & Daging Masak Jintan bersama Jalen oleh Chef Razak. Masakan jadi lebih mudah apabila menggunakan produk dari Jalen. Rasa masakan pun bertambah enak. Anda wajib cuba resipi Chef Razak ni. Sekejap je dah siap.

Bukan itu saja, ada juga aktiviti CSR yang dianjurkan oleh Rasa iaitu pemberian 250 pek Nasi Kandar kepada abang riders secara percuma tajaan PRESMA sebagai pengiktirafan di atas sumbangan abang riders dalam industri makanan negara. Selain itu, Rasa dengan kerjasama Mercure Hotels Kuala Lumpur, Glenmarie berganding bahu dengan mengedarkan 250 pek Kari Ikan Jenahak percuma kepada para pengunjung yang hadir ke tapak fiesta.

Rasa Layan Curry Fiesta turut dirasmikan oleh YB. Mohd Najwan Halimi, Exco Belia, Sukan & Keusahawanan Negeri Selangor. Terima kasih YB!

TERIMA KASIH SEMUA!

Kami di pihak portal Majalah Rasa ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung dan secara tidak langsung dalam Rasa Layan Curry Fiesta terutama buat rakan kolaborasi iaitu Havoc Food Festival.

Terima kasih diucapakan kepada penaja bersama Rasa Layan Curry Fiesta iaitu Kewpie, Jalen, redONE Mobile, Hameediyah dan Nasi Kandar Express. Juga tidak dilupakan buat rakan PBT, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) serta rakan komuniti iaitu Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Nasi Kandaq Hunters (NKH) dan Hello Kitty Cars Malaysia.

Terima kasih kerana turut menjayakan Rasa Layan Curry Fiesta. Semoga kita berjumpa lagi pada masa akan datang!

Comments

Leave a Reply