SHAH ALAM – Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden diminta menamakan secara jelas pihak yang didakwa mulutnya ditutup oleh Kerajaan Perpaduan.
Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, penjelasan itu perlu dibuat untuk keadilan semua pihak.
“Saya mohon saudara Afnan untuk nyatakan mulut siapakah yang ditutup oleh kerajaan hari ini. Bahkan presiden parti saudara sendiri (Tan Sri Abdul Hadi Awang) tanpa segan silu menggelar pimpinan kerajaan dengan pelbagai gelaran dan hinaan, tidak pernah lagi ditutup mulutnya.
“Kenyataan saudara tidak lebih sekadar cubaan untuk membina persepsi bahawa kerajaan hari ini mengekang kebebasan bersuara.
“Saudara juga harus faham bahawa kebebasan bersuara itu tidak termasuk kebebasan menghina, mencerca dan memfitnah,” katanya menerusi hantaran di aplikasi X pada Khamis.
Terdahulu, Afnan Hamimi ketika berucap pada Muktamar Dewan Pemuda Pas di Temerloh sempena Muktamar Pas ke-70 dilapor mendakwa pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) cuba menutup mulut pembangkang.
Justeru, beliau memberi amaran kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mengendahkan suara pengkritiknya atau berdepan risiko dijatuhkan melalui protes jalanan.
Ahli Parlimen Alor Setar itu turut membangkitkan isu disifatkan tindakan keterlaluan yang diambil kerajaan terhadap pihak yang mengkritik dasar-dasarnya.
Sebagai contoh katanya, ada antara mereka yang ditahan serta alat komunikasi juga dirampas pihak berkuasa kerana bersuara.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.