KLUANG – Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang terletak di pusat bandar Kluang merupakan ‘nadi’ kepada daerah berkenaan, memandangkan kedudukannya sebagai pusat pentadbiran serta kawasan tumpuan perindustrian dan perniagaan.
Ketua Penolong Pegawai Daerah Kluang, Mohd Faiz Mohd Salleh berkata, DUN Mahkota dihuni seramai 79,707 penduduk dengan majoritinya bekerja di sektor awam atau swasta, selain dalam bidang industri.
“Faktor ini turut dipengaruhi oleh kehadiran beberapa kawasan perindustrian dengan kira-kira 500 kilang. Selain itu, daerah Kluang juga menempatkan kilang-kilang gergasi termasuk kilang jubin terbesar yang menghasilkan produk berkualiti tinggi sehingga menembusi pasaran antarabangsa,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Mohd Faiz berkata, perkembangan ekonomi juga membawa kepada pembangunan infrastruktur yang baik, termasuk jaringan jalan raya yang menghubungkan kawasan tersebut dengan daerah lain seperti Batu Pahat, Mersing dan Kulai.
Selain itu, Stesen Keretapi Kluang yang terletak dalam kawasan DUN Mahkota turut berperanan menghubungkan daerah-daerah berhampiran seperti Segamat dan Kulai, katanya.
Beliau turut berpandangan kawasan DUN Mahkota akan menjadi tumpuan utama serta mendapat limpahan ekonomi apabila Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (Gemas-JB EDTP) dijangka siap pada 2025.
Gemas-JB EDTP adalah projek perkhidmatan tren elektrik sepanjang 192 kilometer meliputi empat daerah utama di Johor iaitu Segamat, Kluang, Kulai dan Johor Bahru.
“EDTP ini bakal menyaksikan beroperasinya ETS milik Keretapi Tanah Melayu Bhd, yang secara tidak langsung dapat merancakkan sektor pelancongan kerana akan menghubungkan laluan dari selatan dan utara tanah air,” katanya.
Menyentuh sektor pelancongan, Mohd Faiz berkata, antara lokasi menarik tumpuan pelancong ialah Kluang Rail Coffee. Tempat ini terkenal dengan minuman berasaskan kopi dan telah diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai kopitiam tertua di Malaysia.
Kluang Rail Coffee yang terletak di Stesen Keretapi Tanah Melayu Kluang bermula sebagai perniagaan keluarga pada 1938, kini ia menjadi ‘ikon’ daerah tersebut dan merupakan ‘lokasi wajib singgah’ kepada pelawat yang mempunyai urusan di kawasan berdekatan.
“Turut menjadi tumpuan ialah Rumah Seni, sebuah banglo yang dihiasi dengan lukisan tiga dimensi (3D) di keseluruhan dindingnya. Lukisan-lukisan tersebut termasuklah gambaran lokasi tempat pembukaan daerah Kluang, iaitu Kampung Palembang yang dikatakan mempunyai banyak keluang (sejenis kelawar besar) ketika ia dibuka,” katanya.
Daerah Kluang akan menjadi tumpuan mulai Sabtu ini, apabila ‘gelanggang’ Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota dibuka secara rasmi dengan proses penamaan calon di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini, disusuli hari pengundian pada 28 September manakala pengundian awal pada 24 September ini.
Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seramai 66,318 pemilih terdiri daripada 61,397 pengundi biasa; 4,410 anggota tentera dan pasangan, 401 anggota polis serta 10 orang pengundi tidak hadir (PTH) luar negara akan menunaikan kewajipan memilih wakil rakyat baharu DUN itu.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, dari Barisan Nasional (BN) pada 2 Ogos lalu, ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini. – Bernama
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.