ISU halal dan haram makanan sememangnya dititikberatkan Islam, lebih-lebih lagi apabila bertandang ke negara yang bukan Islam.
Walaupun sudah banyak negara mempunyai badan yang bertanggungjawab mengelola dan mengeluarkan sijil halal di negaranya, namun sikap berhati-hati sepatutnya dijadikan amalan.
Timbul persoalan, apakah ada panduan daripada Islam apabila melancong atau bekerja di negara bukan Islam itu?
Menjawab persoalan tersebut, pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, harus untuk seorang Muslim yang berada di negara bukan Islam untuk makan di kedai non-Muslim sekiranya tiada kedai orang Islam di sana.
Bagaimanapun katanya, terdapat dua syarat yang perlu dipatuhi sebelum makan di kedai berkenaan.
“Syarat pertama, bahan makanannya adalah halal di sisi syarak.
“Kedua, bekas yang digunakan untuk memasak seperti kuali dan periuk serta bekas untuk makanan dan minuman seperti pinggan serta cawan adalah bersih,” katanya di Facebook miliknya pada Selasa.
Ustaz Azhar kemudian memetik ayat ke-168 surah al-Baqarah: “Wahai manusia, makanlah oleh kamu sekalian daripada rezeki di bumi itu yang halal lagi suci.”
“Berdasarkan ayat ini, disyaratkan makanan yang hendak diambil itu halal dan wajib pula keadaan makanan yang halal itu bersih sama ada di kedai orang Islam atau bukan Islam,” ujarnya.
Katanya, perkara tersebut pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW melalui hadis yang diriwayatkan Abi Tha’labah Al-Khashani RA berkata kepada Baginda:
“Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami pernah berada di negara Ahli Kitab yakni orang-orang kafir, maka bolehkah kami makan di dalam bekas-bekas makanan mereka?
Lalu Rasulullah SAW menjawab: “Jangan kamu sekalian makan di dalam bekas-bekas makanan mereka itu melainkan jika kamu tidak jumpa akan yang lainnya. Maka bersihkanlah dahulu bekas-bekas makanan mereka dengan air, kemudian barulah kamu makan di dalam bekas tersebut.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi dan Ibnu Majah)
Dalam riwayat lain, Ustaz Azhar berkata, Rasulullah SAW berpesan:
“Jika kamu sekalian tidak berjumpa melainkan yang ada ialah bekas makan minum mereka itu yakni orang-orang kafir, maka janganlah kamu sekalian makan di dalamnya. Hendaklah kamu membasuh bekas makan minum mereka terlebih dahulu kemudian barulah guna untuk makan dan minum.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
Oleh itu katanya, jika bahan makanan tersebut adalah haram seperti haiwan yang tidak disembelih mengikut syarak, maka haram memakannya sekalipun dibasuh sehingga bersih.
“Begitu juga sekalipun bahannya halal seperti ikan atau telur, namun dimasak di dalam kuali yang najis kerana penggunaan kuali itu sebelumnya digunakan untuk memasak daging yang najis seperti babi, maka haram memakannya,” jelas agamawan itu.
Sementara itu, apakah dibolehkan seorang Muslim memakan masakan yang dimasak atau disediakan oleh non-Muslim yang bukan Ahli Kitab seperti Hindu, Sikh, Buddha dan lain-lainnya?
Dalam hal ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, dibolehkan bagi seorang Muslim untuk makan makanan tersebut selagi mana ia adalah halal dan bukannya dari hasil sembelihan mereka.
“Tidak ada masalah buat seseorang Muslim itu sekiranya diajak untuk bertandang ke rumah rakannya yang bukan Islam lalu dihidangkan makanan untuk dimakan selagi mana ia halalan toyyiba.
“Walaupun begitu, ini tidaklah menafikan keafdalan bersikap warak dalam mengambil suatu makan.
“Adalah afdal makanan kita itu diperolehi daripada orang yang bertakwa dan disediakan juga dengan takwa,” jelasnya dalam artikel Al-Kafi #564: Hukum memakan makanan yang dimasak oleh non-Muslim (bukan Ahli Kitab).
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.