Ada Ratusan Koleksi Baju Tenun Pahang, Tengku Ampuan Pahang Pamer Koleksi Peribadi Paduka Baginda & Anakanda

Bukan ada sehelai dua tapi ratusan koleksi baju tenun Pahang, eksklusif dari istana Tengku Ampuan Pahang berkenan pamer koleksi peribadi Paduka Baginda dan Paduka Anakanda sendiri.

Tersentuh dengan keramahan dan jiwa penyayang Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj ketika Paduka Baginda berangkat tiba mencemar duli ke Pameran Tenun Pahang Diraja.

Berlangsung di Royal Selangor Visitor Centre, Paduka Baginda turut diiringi YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Paling manis saat mendengar Paduka Baginda yang berkenan menyampaikan titah suka duka perjalanannya membangunkan Tenun Pahang Diraja sejak 21 tahun lalu. Jom saksikan video eksklusif di bawah…

 

Memiliki lebih ratusan koleksi baju kurung tenun Pahang Diraja, titah Paduka Baginda ia bukan dikumpul dalam masa setahun dua tapi bertahun-tahun lamanya.

Paduka Baginda ketika sidang media menegaskan bahawa nilai kain tenun tidak terletak pada harga semata tetapi segala usaha yang dicurahkan untuk menghasilkannya.

“Nilai membuatnya (tenun) terletak kepada usahanya, rekaan dan kualiti. Nilai terletak pada hasil produknya dari mula hingga akhir (proses penghasilan).

Ini adalah usaha saya untuk kongsi kecantikan dan keunikan kain tenun Pahang. Pihak penjara (Pahang dan Terengganu) banyak menolong dari segi pendidikan dan penghasilan (kepada banduan).

Dah mahir, sekarang boleh buat teknik ‘dua wajah’, boleh pakai dua-dua belah (kain/samping) selain memastikan konsep tradisional terus dikekalkan,” titah Paduka Baginda.

Instagram @royalselangor

 

Instagram @royalselangor

Dalam pada itu baginda bertitah, generasi muda perlu mengenal kraf warisan negara agar ia tidak mati dah terus kekal hidup dari generasi ke generasi.

“Kita perlu bangga dengan warisan kita, itu adalah identiti Malaysia, bagi yang berminat pergilah belajar menenun di institut yang disediakan (Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam) di Pekan. Masuk institut tak perlu bayar, boleh belajar cara menenun dan kraf-kraf lain,” titahnya lagi.

 

ROYAL SELANGOR

Royal Selangor berbesar hati menganjurkan ‘Threads of Legacy: Pameran Tenun Pahang Diraja’ dengan kerjasama Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, sebagai usaha berterusan untuk memelihara dan meraikan warisan budaya Malaysia yang kaya.

Majlis pelancaran ini berlangsung pada 9 September 2024, bersempena dengan sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia. Pameran itu mempamerkan seni Tenun Pahang Diraja yang rumit, tradisi tenunan diraja yang berakar umbi dalam sejarah Pahang.

Kerjasama itu melambangkan komitmen Royal Selangor untuk mengekalkan kraf tradisional Malaysia dan memastikan penghargaan mereka untuk generasi akan datang.

Instagram @royalselangor

Salah satu sorotan pameran adalah kain tenun pakaian K.D.P.B. Tengku Ampuan Pahang semasa pertabalan King Charles III dan pertabalan suaminya, K.D.P.B. Sultan Abdullah Pahang.

Selain itu terdapat juga pameran tentang alatan penting dan proses di sebalik seni tenunan Pahang. Projek ini merupakan sebahagian daripada misi Royal Selangor untuk mewujudkan kesedaran tentang kraf tradisional, sama seperti warisan mereka sendiri dalam ketukangan piuter.

Pameran Tenun Pahang akan dibuka kepada orang ramai di Royal Selangor Visitor Centre menawarkan peluang kepada pengunjung untuk menyelami sejarah tekstil dan ketukangan Malaysia yang kaya sepanjang bulan September.

Artikel berkaitan: https://www.nona.my/usia-49-ada-2-cucu-aksi-kris-dayanti-berlatih-wushu-jadi-sorotan/


Posted

in

, ,

by

Comments

Leave a Reply