Al-Fatihah, arwah Nurin Jazlin Genap Usia 25 tahun hari ini. Ucapan Hari Lahir Bapa Bikin Sebak

Hari ini, tanggal 11 September merupakan ulang tahun ke-25 tahun buat kanak-kanak yang dibunuh kejam 16 tahun lalu, Nurin Jazlin Jazimin.

Ucapan hari lahir itu dimuat naik oleh bapa Allahyarhamah, Jazimin Abdul Jalil menerusi akaun Facebook dan TikToknya.

 Jazimin berkongsi gambar Nurin Jazlin yang ketika itu berusia lapan tahun beserta tulisan ’11 September 1999, Al-Fatihah’.

Melihat hantaran tersebut, ramai yang membanjiri ruangan komen dengan ucapan hari lahir beserta ucapan takziah sekali gus turut mendoakan semoga keadilan dapat ditegakkan buat kematian Allahyarhamah.

Pembunuhan Kejam

Nurin, yang juga anak kedua daripada tiga beradik kepada pasangan Jazimin Abdul Jalil dan Norazian Bistaman diculik pada 20 Ogos 2007 ketika dia meninggalkan rumah sendirian untuk menuju ke pasar malam di Wangsa Maju.

Kegagalannya pulang menyebabkan adik-beradik serta ibu bapanya cemas dan tertekan.

Usaha Tanpa Jemu

Pelbagai usaha dilakukan melalui media dan orang ramai termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengesan murid tahun dua Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Setapak, Setapak, Kuala Lumpur itu.

Pada pagi 17 September 2007, sebuah beg sukan yang ditinggalkan di hadapan sebuah rumah kedai di PJS 1/48, Petaling Jaya ditemui oleh pemilik kedai. Beg itu mengandungi badan kanak-kanak tanpa seurat benang dan dibiarkan dalam keadaan bogel.

Siasatan kemudiannya mengesahkan bahawa dia dirogol dan dibunuh.

Berikut adalah beberapa fakta penting berkaitan kes tersebut:

  • Mayat kanak-kanak yang tidak dikenali disumbat dalam beg berkenaan dan polis percaya bahawa kanak-kanak itu telah mati lebih daripada enam jam sebelum penemuan berkenaan.
  • Lebih menyayat hati, timun dan terung ditemui disumbat dalam kemaluan kanak-kanak itu yang juga telah menyebabkan rektumnya pecah.
  • Hasil bedah siasat menyatakan jangkitan bakteria telah menyumbang kepada kematian mangsa.
  • Ketika kejadian, ibu bapa Nurin Jazlin tidak dapat mengenal pasti mayat itu sebagai anak perempuan mereka kerana perubahan dalam ciri-ciri fizikal kanak-kanak terbabit.
  • Pihak polis telah berusaha sedaya upaya mengesan pembunuh yang terlibat melalui hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejiranan setempat di lokasi tempat tinggal kanak-kanak itu namun tidak mendapat gambaran yang jelas kerana rakaman itu kabur.
  • Walaupun pihak polis berjaya menahan antara tiga hingga empat orang yang disyaki terlibat namun pengesanan suspek utama sukar dibuat ekoran gambar pelaku tidak dirakam dengan jelas dan sehingga kini masih bebas.

Pembunuh Masih Bebas

Pada 2018, bapa Nurin menggesa pegawai polis membuka semula kes pembunuhan anaknya itu dengan harapan dapat mencari sesuatu yang baharu dengan penggunaan teknologi moden tetapi rayuannya tidak pernah dikabulkan.

Jika ditakdirkan pembunuhan kejam Nurin Jazlin tidak dapat dirungkai sehingga lebih dua dekad, ia tidak akan mengubah pendirian bapa kanak-kanak itu, Jazimin Abdul Jalil untuk mencari keadilan buat kanak-kanak malang itu.

Follow kami di TELEGRAMINSTAGRAMTIKTOKFACEBOOKTWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply