Kedudukan Selawat Berbanding Zikir, Mana Lebih Tinggi?

Selawat dan zikir keduanya merupakan tuntutan di dalam syarak kerana terdapat banyak dalil yang menyeru manusia agar sentiasa melaziminya. Dalam menjadikan zikir dan selawat ini sebagai rutin mungkin terlintas di fikiran sebahagian daripada kita antara keduanya mana yang lebih tinggi kedudukannya? 

Penjelasan tentang persoalan ini berikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan. Namun sebelum menjawab persoalan ni ada baiknya kita fahami dulu maksud zikir dan selawat. 

Makna selawat dan zikir

Selawat adalah perkataan jama’ bagi solat (الصلاة‎) yang bermaksud doa atau pujian. Tambahan pula, makna selawat Allah SWT, selawat para malaikat dan juga selawat manusia adalah berbeza di antara satu sama lain.

Selawat Allah ialah pujian-Nya di sisi para malaikat yang tinggi. Manakala selawat malaikat pula ialah doa tambahan gandaan pahala dan selawat orang mukmin ialah berdoa memohon supaya Allah SWT melimpahkan rahmat, menambahkan kemuliaan, kehormatan dan kepujian kepada penghulu kita Nabi Muhammad SAW.

Zikir dari sudut bahasa bermaksud mengingati. Manakala dari sudut istilah pula, zikir merupakan sesuatu perkara yang dilakukan dengan tujuan mengingati Allah SWT dengan cara-cara yang dibolehkan oleh syarak seperti menerusi ucapan, perbuatan atau dengan hati.

 Di dalam al-Quran, Allah SWT menyatakan dengan begitu jelas berkaitan tuntutan untuk kita sentiasa berselawat dan berzikir. Antaranya:

Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” al-Ahzab: 56

Syeikh al-Maraghi dalam mentafsirkan ayat ini berkata: Wahai orang beriman, doakanlah supaya Nabi SAW mendapat rahmat, muliakan Baginda walau dengan apa cara yang kamu mampu lakukan. Umpamanya mengikut Baginda secara baik atau mematuhi setiap arahannya. Begitu juga, dengan cara mengucapkan selawat dan salam kepada Baginda dengan lidahmu. [Lihat: Tafsir al-Maraghi, 11/5511)]

Adapun ayat al-Quran berkaitan tuntuan berzikir adalah:

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! berzikirlah kamu kepada Allah dengan zikir yang banyak.” al-Ahzab: 41

Terdapat banyak lagi ayat al-Quran berkaitan seruan agar kita sentiasa berzikir dengan mengingati Allah SWT. Di samping itu, di dalam hadith juga ada dinyatakan kelebihan atau tuntutan untuk kita sentiasa berselawat dan berzikir, antaranya:

Daripada Abu Umamah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنَ الصَّلَاةِ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ

Maksudnya: “Perbanyakkanlah berselawat ke atasku pada setiap hari Jumaat.” [Riwayat al-Baihaqi (5995)][Imam al-Syaukani menilai sanad hadith ini adalah hasan]

 Tinggalkan salah satu adalah perbuatan sia-sia

Berdasarkan kepada persoalan di atas, kami berpandangan keduanya iaitu selawat dan zikir adalah disyariatkan oleh Allah SWT berdasarkan kepada nas al-Quran dan hadith Nabi SAW yang jelas dan di sana tidak ada dinyatakan dari sudut keutamaan di antara keduanya.

Untuk itu, meninggalkan salah satu daripadanya adalah satu perbuatan yang sia-sia yang menyebabkan hilangnya kelebihan yang akan kita perolehi apabila melakukannya.

Oleh sebab itu, kita dituntut untuk sentiasa melazimi keduanya pada setiap hari dengan memperbanyakkan selawat dan juga zikir kepada Allah kerana itu adalah yang terbaik agar kita mendapat kelebihan-kelebihan yang dijanjikan oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW apabila melakukannya.

Kesimpulannya, selawat dan zikir adalah ibadah yang masyru’ (disyariatkan) oleh agama kita. Sebahagian ulama juga ada menyatakan bahawa selawat merupakan satu juzuk daripada zikir.

Oleh sebab itu, Allah SWT menuntut kita untuk sentiasa berselawat ke atas junjungan Nabi SAW. Tambahan pula, ia iaitu selawat merupakan wasilah atau jalan kita untuk mendapatkan cinta Allah SWT. 

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply