Berdehem Ketika Solat, Jangan Suka-Suka Buat. Ini Hukumnya

Dek sakit tekak atau tekak berasa gatal ketika solat kita terpaksa berdehem untuk meneruskan bacaan.

Mungkin juga ada yang sengaja berdehem bila rakan di sebelah kita berbual dengan kuat sewaktu sedang solat bagai petanda supaya memperlahankan suara.

Apa pun perlu diketahui bahawa antara perkara yang membatalkan solat ialah berkata-kata dengan sengaja dan masuk dalam hukum berkata-kata itu ialah mengeluarkan suara  seperti dengan berdehem.

Demikian penjelasan penceramah terkenal Ustaz Azhar Idrus mengenai hukum berdehem ketika solat.

Berdehem jika berbunyi dua huruf solat batal
Dalam hal ini orang berdehem dengan sengaja menurut pendapat yang sahih jika berbunyi dua huruf maka batal solatnya.

Berkata Imam Nawawi :

وأما التنحنح فحاصل المنقول فيه ثلاثة أوجه الصحيح الذى قطع به المصنف والاكثرون ان بان منه حرفان بطلت صلاته والا فلا والثانى لا تبطل وان بان حرفان قال الرافعي وحكى هذا عن نص الشافعي والثالث ان كان فمه مطبقا لم تبطل مطلقا والا فان بان حرفان بطلت والا فلا وبهذا قطع المتولي وحيث ابطلنا بالتنحنح فهو ان كان مختارا بلا حاجة فان كان مغلوبا لم تبطل قطعا ولو تعذرت قراءة الفاتحة الا بالتنحنح فيتنحنح ولا يضره لانه معذور وان أمكنته القراءة وتعذر الجهر الا بالتنحنح فليس بعذر علي أصح الوجهين لانه ليس بواجب

Ertinya : “Dan ada pun berdehem maka kesimpulannya yang dinaqal padanya tiga pendapat dan pendapat yang sahih yang telah diputuskan dengannya oleh pengarang (Imam As-Syairazi) dan kebanyakkan ulamak apabila nyata bunyi dua huruf nescaya batal solatnya dan jika tidak nyata dua huruf maka tidak batal.

Dan pendapat yang kedua tidak batal sekalipun nyata dua huruf telah berkata Ar-Rafie dan telah menghikayatkan ini dari nas Imam Syafie.

Dan pendapat yang ketiga jika adalah mulutnya tertutup nescaya tidak batal sama sekali dan jika terbuka dan nyata dua huruf batal dan jika tidak nyata dua huruf maka tidak batal. Dan dengan ini telah memutuskan oleh Al-Mutawali.

Dan sekira-kira kami kata batal sebab berdehem itu yaitu jika dengan ikhtiar tanpa hajat. Maka jika terpaksa berdehem nescaya tidak batal sama sekali.

Dan jikalau uzur oleh membaca fatihah melainkan dengan berdehem maka berdehem tidak memudaratkan kerana sungguhnya ia yang diuzurkan. Dan jika dia boleh baca fatihah cuma uzur hendak kuatkan suara melainkan dengan berdehem maka berdehem bukanlah uzur atas pendapat yang paling sahih dari dua pendapat kerana menguatkan suara bukanlah yang wajib.” (Kitab Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab)

Sengaja berdehem yang mengeluarkan bunyi dua huruf adalah membatalkan solat.
Jika tidak dapat membaca yang wajib seperti fatihah melainkan dengan berdehem maka berdehem ketika ini tidak membatalkan solat.
Berdehem membaca yang sunat batalkan solat
Jika berdehem kerana hendak membaca yang sunat maka ia membatalkan solat menurut pendapat yang paling sahih.

Berkata Ad-Dimyathi :
وخرج بقولي لغير تعذر قراءة واجبة، ما إذا ظهر حرفان في تنحنح لتعذر قراءة مسنونة، كالسورة أو القنوت أو الجهر بالفاتحة، فتبطل

Ertinya : “Dan keluar dengan kataku bagi selain teruzur membaca yang wajib barang yang apabila nyata dua haraf pada berdehem kerana uzur membaca yang sunat seperti membaca surah atau qunut atau menguatkan bacaan fatihah maka solatnya batal.” (Kitab I’anah At-Talibin)

Yakni jika terpaksa berdehem kerana hendak membaca yang wajib seperti fatihah maka solatnya tidak batal dan jika berdehem kerana membaca yang sunat seperti doa iftitah misalnya maka solatnya batal.

Sumber: Ustaz Azhar Idrus

 


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply