“Asal Nak Cari Duit Poket Je.” Sekarang Banyak Demand Minta Pn. Syazwani Buat Deko Belon Untuk Majlis!

Kalau nak buat sesuatu, perlu lahir dari hati. Barulah setiap apa yang diusahakan akan ‘menjadi’ dan dapat memberi kepuasan kepada diri sendiri dan orang lain. Begitulah prinsip Pn. Norsyazwani Mohd Yatim yang kini giat memajukan bisnesnya, Wanaqee Empire Décor.

Comel pilihan warna merah jambu dan biru lembut

Perniagaan jambangan bunga dan coklat, dekorasi belon untuk majlis, gubahan hantaran mahupun photobooth yang diusahakan Pn. Syazwani bermula dari rumah sekitar hujung tahun 2019. Ketika itu, ibu kepada seorang anak ini hanya menjalankan bisnes secara suka-suka untuk mencari duit poket.

Mula Serius Ketika Zaman PKP

“Pada awalnya saya bermula dengan bisnes membuat jambangan bunga dan coklat. Waktu itu sekadar mengisi masa lapang dan mahu cari duit poket sendiri. Mungkin rezeki agaknya, bisnes saya mula berkembang ketika zaman PKP. Waktu itu saya semakin serius berbisnes kerana banyak menerima tempahan dari anak-anak yang tak dapat pulang ke kampung untuk berjumpa orang tua mereka,” jelas Pn. Syazwani.

Tambah isteri kepada En. Muhammad Zuhairie Badrulhisham ini lagi, bukan sekadar jambangan bunga dan coklat bahkan ketika itu dia banyak menerima tempahan kek untuk dihantar kepada pelanggannya di daerah Hulu Selangor. Kemudian pada tahun 2022, wanita hebat ini mengembangkan perniagaan untuk perkhidmatan dekorasi belon.

Cantiknya dekorasi belon bertemakan safari

“Saya mulakan dengan dekorasi kecil dengan pakej yang murah, niat saya nak gembirakan pelanggan. Jadi saya dan suami wujudkan pakej yang berpatutan untuk pelanggan, melihat senyuman di wajah mereka sudah cukup memberikan saya rasa puas dan gembira,” tambah Pn. Syazwani lagi.

Kini, dia boleh berbangga dengan bisnesnya yang mula mendapat perhatian dari syarikat-syarikat besar seperti Wah Chan, Coway, Jollibee dan banyak lagi.

“Alhamdulillah, sekarang rezeki semakin bertambah. Saya banyak mendapat tempahan untuk dekorasi belon yang lebih besar dengan bayaran yang lumayan. Apa yang membuatkan saya rasa dapat achieve sesuatu kerana saya bermula dari rumah dan kini dapat menguruskan perniagaan sendiri dan buat keluarga rasa bangga,” ceritanya lagi.

Perlu Berani Untuk Berubah

Ketika ditanyakan bagaimana dia boleh bermula dengan perkhdimatan dekorasi belon, Pn. Syazwani memberitahu yang dia hanya mengikut permintaan pelanggannya ketika itu. Tidak mahu dekorasinya tampak biasa, Pn. Syazwani memberanikan diri untuk membuat dekorasi yang berbeza dan berjaya membuatkan pelanggannya berpuas hati.

Salah satu dekorasi belon yang sangat menarik bertemakan ‘builder’

“Saya keluar dari comfort zone, sesuatu yang saya minat tapi tak pernah terfikir nak jadikan bisnes. Saya cuba buat ikut permintaan pelanggan waktu tu sebab dah selalu buat untuk majlis hari jadi anak serta anak saudara sendiri sebelum ini. Lepas enam bulan buat bisnes dekorasi ni, saya ikut kelas sebab nak mantapkan kemahiran yang ada,” kata Pn. Syazwani lagi.

Penat Tapi Gembira

Menurut Pn. Syazwani, semakin hari minatnya terhadap bisnes yang diusahakan semakin bertambah dan membuatkan dirinya merasa gembira.

“Nak buat dekorasi belon ni memang penat. Ia memerlukan tenaga serta memakan masa tapi bila pelanggan puas hati dan seronok, itulah yang jadi penguat semangat saya. Keutamaan untuk diri saya adalah untuk menawarkan servis yang terbaik buat pelanggan yang mempercayai Wanaqee Empire Décor,” jelasnya.

Hiasan minimalis tetapi anggun dalam rona putih, krim dan jingga

Menurut Pn. Syazwani, idea untuk membuat dekorasi adalah melalui pemerhatian dan kajian di internet. Selain itu, Pn. Syazwani juga akan pastikan setiap dekorasi yang dibuat akan diberi nafas baru dan berbeza dari yang sebelumnya.

“Saya akan pastikan dekorasi yang dihasilkan ada personal touch supaya impaknya berbeza untuk setiap pelanggan. Saya akan cuba yang terbaik untuk mengikut setiap permintaan pelanggan. Saya juga merupakan antara bisnes pertama yang memperkenalkan elemen filler chain dalam dekorasi belon di Malaysia,” tambah Pn. Syazwani.

Servis Hebat Wanaqee Empire Décor

Selain membuat servis jambangan bunga dan coklat serta dekorasi belon, Wanaqee Empire Décor juga menawarkan servis solekan untuk majlis tertentu serta membuat perkhidmatan pelamin mini. Untuk servis dekorasi belon, Pn. Syazwani akan menerima tempahan di kawasan Lembah Klang, Kuala Lumpur, Selangor, Port Dickson dan Ipoh jika bersesuaian dengan bayaran.

Antara syarikat besar yang memilih Wanaqee Empire Décor untuk membuat dekorasi di majlis makan malam dan ulang tahun mereka

“Harga pakej untuk dekorasi belon majlis hari jadi bermula dari RM509 dan untuk acara di dewan pakejnya bermula serendah RM950. Biasanya saya akan buat konsultasi dengan pelanggan, mereka mahukan dekorasi yang bagaimana dan berapa bajet yang ada. Dari situ, saya akan sarankan apa yang sesuai untuk majlis mereka mengikut kepakaran dan  pengalaman saya. Semuanya boleh dibawa berbincang.

Sekiranya ada yang mahu mendapatkan perkhidmatan dari Wanaqee Empire Décor boleh hubungi kami di 011-7311 0897 atau boleh ikuti kami di TikTok, Instagram atau Facebook Wanaqee Empire Décor. Perancangan kami untuk masa depan adalah untuk berkembang ke servis fotografi dan pengurusan majlis. Harap dapat dijadikan kenyataan,” akhiri Pn. Syazwani.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply