Pemergian insan tersayang ibu bapa, pasangan, anak sudah pastinya menimbulkan kerinduan yang mendalam.
Namun dengan kemajuan teknologi hari ini ada yang cuba mengubat kerinduan dengan penghasilan semula gambar atau video insan yang telah tiada ini menerusi teknologi kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI).
Tapi timbul persoalan adakah ia dibolehkan dalam Islam. Penjelasan tentang perkara ini dijelaskan oleh Mufti Wilayah Persekutuan.
Hukum menghasilkan imej orang yang meninggal dunia menggunakan teknologi Generative Ai, iaitu seseorang memasukkan arahan pada perisian atau aplikasi untuk gambar yang dikehendaki kemudian menghasilkan imej digital mengambil sama seperti hukum melukis gambar.
Hukum melukis gambar sama ada orang yang hidup atau yang telah meninggal dunia tanpa tujuan dan sebab yang munasabah hukumnya adalah haram menurut majoriti ulama.
Hal berdasarkan sabda Nabi SAW:
إِنَّ الَّذِينَ يَصْنَعُونَ هَذِهِ الصُّوَرَ يُعَذَّبُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يُقَالُ لَهُمْ: أَحْيُوا مَا خَلَقْتُمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya mereka yang membuat gambar ini akan diazab pada hari kiamat seraya diseru, ‘Hidupkan apa yang kalian buat.”(Riwayat al-Bukhari)
Dalam hadis yang lain Nabi SAW juga bersabda:
أَشَدُّ النَّاسِ عَذَابًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ الَّذِينَ يُضَاهُونَ بِخَلْقِ اللَّهِ
Maksudnya: “Manusia yang paling pedih azabnya pada hari kiamat adalah orang yang berusaha menyaingi ciptaan Allah.” (Riwayat al-Bukhari)
Namun penggunaan menghasilkan imej digital untuk tujuan kemaslahatan dan keperluan seperti tujuan berdakwah dan pembelajaran tidak termasuk dalam perkara yang diharamkan.
Selain itu, lukisan dan gambar yang tidak lengkap (hanya menampilkan sebahagian anggota sahaja) iaitu jika dengan ketiadaan sebahagian anggota seperti kepala maka tiada bernyawa manusia dan haiwan tersebut maka hukumnya harus.
Oleh itu, penghasilan imej digital orang yang telah meninggal dunia aplikasi “generative AI” adalah harus dengan syarat:
- Gambar yang dihasilkan bukanlah gambar yang sempurna seluruh anggota tubuh badan
- Tidak mempamer aurat atau apa sahaja perkara yang bercanggah dengan syarak.
- Tidak mengaibkan gambar si mati.
- Tidak menjadikan gambar orang yang telah meninggal dunia bergerak-gerak kerana dikhuatiri ia akan menjatuhkan maruah atau memalukannya.
- Tujuan gambar tersebut dibuat hanyalah untuk perkara-perkara kebaikan.
Dalam pada itu Pejabat Mufti WP turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dalam menggunakan kecanggihan teknologi yang ada. Penggunaan teknologi yang tidak terkawal akan mendatangkan kesan yang tidak baik sama ada kepada individu, masyarakat mahupun negara.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.