Ramai yang niat nak kahwin awal sebab rasa nak mudahkan urusan harian, konon ada orang jaga dan tolong kemas rumah tetapi bab nafkah dan menjaga emosi pasangan tak pernah bersedia. Itu salah!
Jom betulkan niat nak kahwin dulu kemudian baru boleh buat persediaan hal rumah tangga. Jemput baca perkongsian Intan Dzulkefli ini sekejap…
Betulkan Niat Nak Kahwin
Orang lelaki, bila terniat dalam hati, berkahwin untuk meringankan beban sebab nak kongsi gaji isteri, untuk menyenangkan diri ada orang masakkan makanan, basuhkan baju, uruskan rumah tangga, lahir dan tanggung makan pakai anak-anak, kat situ je dah salah dah.
Sebabnya bila orang lelaki berkahwin, dia bukan meringankan beban sebaliknya bertambah-tambah berat amanah yang nak dipikul. Kalau sebelum nikah hanya perlu fikir redha mak ayah, selepas kahwin nak fikir tarbiyah, nafkah isteri dan anak-anak.
Cerita Bab Nafkah
Nafkah bukan setakat keluar rumah pergi kerja, pukul 5 balik kerja pergi main futsal, lepak mamak, kemudian dah release tension baru balik rumah tengok anak-anak dah mandi, makan, siap kerja rumah, baju dah bergosok sebab semua isteri setelkan. Cukup bulan beri RM200 pada isteri, “haaa tu je belanja, kat situlah awak pandai-pandai bajet barang dapur, susu anak, pampers anak, jimat-jimat!”
Bila isteri serabai, pakaian dalam pun dah seperti roti kirai, rupa dah serupa hantu Kak Limah, pergilah buat ayat karangan mengadu di KRT kata isteri gemuk, makan je kerja, buruk, baju dalam pun tak selera nak tengok.
Tidak.
Bukan semudah itu nak dapat title suami soleh dambaan bidadari syurga ni, tuan-tuan.
Dan di sebalik ayat ugutan, “sebab tu lah Nabi SAW kata, ramai wanita kat neraka…” sebenarnya wanita-wanita ini menarik tangan lelaki-lelaki durjana terhumban sama. Sebab lelaki adalah qowamu ‘alannisa. Bahkan dialah yang menjadi benteng daripada anak isterinya dair dibakar dalam neraka – rujuk surah at-tahrim ayat 6.
Lelaki seperti ini, kalau kamu lihat bagaimana Rasulullah SAW, para alim ulama’, orang-orang soleh menyantuni isteri dan ahli keluarga, kamu pasti akan malu mahu sewenangnya ‘menerakakan’ isteri kamu kerana mereka ini fokusnya untuk memimpin tangan anak isteri ke dalam syurga.
Sesekali muhasabah diri, ada tak lepas imamkan solat isteri tanya luahan hatinya, usap air matanya, pujuk dia. Ada tak sebelum tidur peluk cium dan ucapkan terima kasih padanya kerana sudi sama-sama menanggung berat amanah rumahtangga. Ada tak minta maaf padanya kerana kurang sangat beri didikan agama, buat taklim kerana kesibukan dirimu.
Wahai suami, sesungguhnya kamu adalah acuan keluarga. Baik yang kamu beri untuk rumahtangga, insyaAllah begitu jugalah baik yang terlihat pada anak isteri.
Keras mana pun seorang wanita, pasti akan lunak hati bila berdepan suami yang berlemah lembut dan santun. Percayalah.
Firman Allah SWT,
“Wahai orang-orang yang beriman, jagalah diri kalian & keluarga kalian dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia & batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka & selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” [At-Tahrim: 6]
Rabbana hablana min azwajina wa dzurriyatina qurrata a’yun, wa’j ‘alna lil muttaqina imama. Amiin.
Para isteri yang ada suami baik dan soleh, bersyukurlah. Alhamdulillah ‘ala kulli nikmah.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.