Bintang Olimpik Viral, Kim Ye Ji Dedah Berbasikal 90 Kilometer Setiap Hari Untuk Latihan Menembak

Baru-baru ini, pemenang pingat perak Olimpik Paris 2024 bagi acara menembak, Kim Ye Ji mendedahkan bahawa antara cara beliau menguatkan daya ketahanan fizikal dengan menunggang basikal sejauh 90 kilometer sebagai latihannya setiap hari.

Menerusi episod terbaru dalam rancangan ‘You Quiz On The Block’ yang disiarkan pada 4 September, Yeji berkongsi mengenai fakta mengejutkan tersebut semasa ditemubual pengacara Yoo Jae Suk dan Jo Se Ho.

Menurut atlet yang tular di media sosial itu, dia memilih berbasikal kerana ia meupakan latihan fizikal yang berkesan buat dirinya dan Yeji memberitahu dia mengayuh sejauh kira-kira 56 batu di antara Jeonju dan Imsil.

“Saya terfikir sendiri ‘cara apa yang paling berkesan untuk berlatih sambil menjimatkan masa’. Jadi saya memutuskan untuk bertolak pada pukul 5 pagi dan mengayuh selama dua jam setengah ke tempat latihan menembak”

Latihan intensif ini merupakan hasil dari pilihan atlet yang berusia 32 tahun itu untuk mengoptimumkan masa sambil mengekalkan kecergasan. Jadi, secara keseluruhan, beliau akan menghabiskan lebih daripada lima jam menunggang basikal setiap hari.

Dalam pada itu, Yeji yang kerap menjalani rutin yang ketat juga berkongsi kisah ketika dia mengalami kemalangan jatuh dari basikal sehingga menyebabkan luka di bahagian dagu.

“Kulit dagu saya tercalar dan waktu itu sangat sakit sampai saya ingatkan rahang saya dah patah. Saya mengerang kesakitan sambil pegang dagu untuk seketika,” tambahnya.

Meskipun mengalami kesakitan pada waktu itu, Yeji memilih untuk terus menunggang basikal ke tempat latihan menembak daripada mendapatkan rawatan perubatan, menunjukkan dedikasi dan tekadnya yang luar biasa sebagai atlet negara Korea Selatan. 

“Waktu itu saya cuma fikir saya perlu pergi kerja, jadi saya terus pakai helmet dan terus kayuh ke tempat kerja sambil berdarah,” katanya.

Sekadar info, Kim Ye Ji baru-baru ini memenangi pingat perak dalam acara pistol udara 10m di Olimpik Paris 2024. Dia juga memenangi emas dalam acara pistol udara 25m dan perak dalam acara pistol udara 10m di Piala Dunia ISSF pada Julai 2024.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Comments

Leave a Reply