ABS Wajib – Harga Motosikal Dijangka Naik

Impak selepas kerajaan mengumumkan penggunaan mandatori sistem Brek Anti-Kunci pada motosikal berkapasiti 150cc ke atas. Harga jualan motosikal keluaran baharu dijangka mengalami kenaikan antara RM100 hingga RM200.

Penganalisis industri automotif, Hezeri Samsuri berkata, bagaimanapun tidak banyak model popular yang akan terjejas dengan kenaikan itu.

“Kenaikan harga mungkin akan berlaku kepada model-model keluaran baharu tetapi tidak akan mengalami peningkatan yang banyak.

“Saya kira kalau naik pun, dalam RM100 ke RM200 tetapi banyak model motosikal di atas 150cc sebenarnya sudah dilengkapi ABS. Ini bermakna tidak banyak model popular yang akan terjejas dengan kenaikan harga,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Mengulas lanjut Hezeri berkata, usaha untuk mewajibkan penggunaan ABS pada motosikal sudah lama dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan kini menjadi mandatori untuk motosikal baharu dengan enjin di atas 150cc.

Menurutnya, ABS sangat penting untuk motosikal moden yang mempunyai prestasi enjin berkuasa tinggi dalam berdepan cuaca negara yang sering dilanda hujan.

“Apabila menempuh cuaca hujan, kejadian roda depan tergelincir sering berlaku. Pemasangan ABS membolehkan penunggang membrek dengan selamat walaupun sedang mengambil selekoh. Ia juga memang terbukti mampu menurunkan kadar kemalangan.

“Sistem ini lambat diperkenalkan kerana faktor harga. Dahulu, modul motosikal yang ada ABS memang mahal sedikit, tetapi dengan pertumbuhan kilang komponen merata dunia dan ia sudah menjadi kelengkapan wajib untuk banyak pasaran dunia, harganya telah turun dengan banyak,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah tersebut bagi menangani kes kemalangan jalan raya khususnya membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Dalam pada itu, laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati ABS berupaya mengurangkan kadar kemalangan maut sebanyak 31 peratus.

Dari Sinar Harian

Baca Juga Peugeot 205 GTI Milik “Mr Bean” Bakal Dijual

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

 


Posted

in

, , ,

by

Tags:

Comments

Leave a Reply