Syok juga kalau dapat cuba trip ke Minangkabau, tengok pemandangan pun sudah dapat rasa kepuasan bercuti. Apa lagi kalau betul-betul sampai sini.
Okay, jom tengok apa yang menarik bila anda sampai sana menerusi perkongsian saudara John Leybu ini.
Trip 4 Hari 3 Malam Ke Minangkabau
Bermula dari Padang – Bukittinggi – Lembah Harau selama 4 hari 3 malam di sana, trip ini membawa keluarga dan mertua ke tanah asal usul Minangkabau.
Hari Pertama
Flight AA landed di Minangkabau Airport, Padang sekitar jam 4.45pm dan terus disambut oleh supir. Disebabkan airport Padang agak kecil, proses imigresen agak lambat. Satu jam selepas landing baru kami selesai dengan proses imi dan collect luggage. Boleh krem kaki berdiri lama sebab kena beratur lama.
Terus bergerak ke Bukittinggi yang jaraknya sekitar 90km dari Padang. Perjalanan sepatutnya mengambil masa 2.5 jam tapi disebabkan laluan utama melalui Lembah Hanai terputus kerana banjir besar pada bulan 4, kami terpaksa gunakan laluan alternatif yang mengambil masa 4.5 jam untuk sampai ke Bukittingi.
Sampai di homestay Bambooshack sekitar jam 10.00pm dan terus berehat sebab dah petak duduk lama-lama dalam van.
Hari Kedua
Bangun pagi sekitar jam 5.00am disebabkan azan subuh yang dilaungkan dari segenap penjuru homestay. Memang di kawasan Kabupaten 50 Kota ini ada beribu-ribu masjid serta musolla. Bak kata supir kami, musollanya banyak, tapi jemaahnya kurang.
Lepak minum kopi di hadapan homestay yang terletak betul-betul di tepi bendang. Lebih kurang jam 6.30am matahari mula naik dan keadaan dah mula terang. Barulah sedar yang homestay Bambooshack ini berhadapan dengan Gunung Marap yakni gunung berapi paling aktif di Indonesia. Berpeluang melihat sendiri Gunung Marapi mengeluarkan debu pada awal pagi dan merupakan pengalaman pertama menyaksikan fenomena gunung berapi. Syok tapi dalam masa sama, cuak juga.
Tour sekitar Bukittingi dengan melawat beberapa kawasan seperti Panorama Baru, Jam Gadang, Lembah Sianok dan seterusnya menuju ke Pagar Ruyung untuk melihat sendiri bangunan-bangunan lama dan istana orang Minang. Selesai di Pagar Ruyung, supir teruskan perjalanan menuju ke Lembah Harau yang mengambil masa sekitar 3 jam. Perjalanan perlahan disebabkan keadaan jalan yang teruk dan juga hujan lebat sepanjang perjalanan. Tiba di Lembah Harau sekitar 9.00pm. Seharian ke sana sini, orang tua pun dah longlai. Rehat dulu satu malam di Harau.
Hari Ketiga
Penginapan di Abdi Homestay. Memang agak bernasib baik kerana supir kami telah menempah homestay ini agak awal. Bangun subuh dah mula kelihatan samar-samar satu tembok besar di belakang penginapan kami. Sayup-sayup bunyi air terjun dari puncak tembok ini menghempas ke kaki bukit disusuli bunyi unggas dan ayam. Memang tenang jauh dari hiruk pikuk kota.
Kami habiskan waktu pagi dengan menikmati pemandangan di sekitar Lembah Harau. Kenderaan beca boleh disewa di homestay atau boleh ajak supir ronda-ronda kampung dengan van.
Hari ketiga banyak masa dihabiskan dengan perjalanan pulang semula ke Padang. Namun supir kami melakukan hentian di beberapa kawasan menarik untuk kami mengambil gambar dan merasai beberapa makanan tradisional Padang. Perjalanan dari Lembah Harau ke Padang mengambil masa lebih kurang 6 jam. Ini semua disebabkan laluan utama Padang ke Bukittingi yang putus disebabkan banjir besar. Kata supir, kemungkinan bukan Ogos 2024, laluan ini akan dibuka semula kepada umum.
Hari keempat
Penginapan di UNP Hotel Padang. Selesai sarapan kami terus bergerak ke airport disebabkan flight balik sekitar jam 11.30am. Berhenti sekejap sekadar untuk membeli sourvenier.
Kos 4 Hari 3 Malam
Air ticket AA return – RM250 per pax
Supir (ground package All In) – RM530
Penginapan
N1 : Bambooshack Bukittingi
N2: Abdi Homestay Lembah Harau
N3 : UNP Hotel Padang
Tip:
1. Jangan lupa bawa universal plug. Kami tertinggal jadi terpaksa pinjam plug dari homestay atau beli sahaja charger yang baru di sana.
2. Cuaca tidak terlalu sejuk di Bukittingi dan Lembah Harau. Siang sekitar 25-27 degree tetapi malam boleh turun sehingga 18 degree. No aircond no hal.
3. Jarak perjalanan antara satu pekan ke satu pekan agak jauh. Jika ada peluang ke tandas, terus pergi sebab kalau tak nanti tak jumpa tandas yang elok.
4. Jalan raya di sana ada yang tidak diselenggara dengan elok oleh kerajaan. Berlopak sana sini dan akan memperlahankan perjalanan dan menyebabkan macet yang sangat-sangat lama . Kalau mabuk kenderaan, makanlah ubat mabuk sebelum perjalanan.
5. Masjid dan musolla di sana kebanyakannya dibina oleh masyarakat setempat menggunakan derma dari pengguna jalan raya di sana. Akan ada anak muda atau orang tua yang berdiri di tengah-tengah jalan sambil meminta derma. Kalau nak buat saham akhirat, bolehlah menderma.
6. Preman menjaga jalan raya terutamanya di simpang-simpang atau selekoh berbahaya. Mereka umpama polis yang tidak diupah oleh kerajaan tapi sekadar mencari pendapatan dengan membantu pemandu kenderaan di kawasan-kawasan bahaya ini. Selalunya supir akan memberikan upah pada mereka.
7. Airport Minangkabau sangat kecil dan padat. Seeloknya untuk proses check in, datanglah 3 jam sebelum waktu flight supaya tak beratur panjang untuk check in. Bukan di atas jalan raya sahaja macet, di dalam airport pun macet.
Haaa.. jadi bagi anda yang nak merasa tempa bercuti tenang-tenang di negara orang, boleh cuba trip ke Minangkabau pula dan senaraikan tempat best awal-awal.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.