Singgah Gunung Jerai Ada Strawberi, Pemandangan Pun Cantik!

Masuk Kedah, wajib singgah Gunung Jerai. Tempat bertenang yang anda pasti suka dan teruja tengok pemandangannya. Eh, aktiviti pun menarik kalau masuk sini!

Lokasi Gunung Jerai sangat mudah untuk dicari. Kalau ikut Lebuhraya Utara Selatan PLUS, ikut sahaja susur keluar di persimpangan Gurun/Sik. Cari Jalan ke Guar Chempedak/Alor Setar dan Gunung Jerai di sebelah kiri.

Gunung Jerai Pun Ada Strawberi

Mungkin ada yang sudah tahu kalau nak naik ke atas puncak Gunung Jerai boleh naik dengan kenderaan sendiri seperti kereta & motor, tapi parking di atas agak terhad.

Atau boleh juga parking kenderaan di bawah (kaki gunung Jerai) dan naik ke puncak dengan servis van shuttle yang disediakan dengan harga bayaran RM10 seorang atau RM80 satu van untuk perjalanan pergi balik.

Owh ya, macam-macam jenis gaya dapat dilihat masa nak pergi sebab ada yang pergi naik kereta, motor, basikal dan ada jugak yang berjalan kaki atau hiking sepanjang 12 KM perjalanan ke puncak.

Sebelum nak naik pastikan periksa atau kaji cuaca dulu sebab kalau berkabus, mendung dan nak hujan memang tak dapat view yang cantik.

Lagi pun agak bahaya untuk naik ke Gunung Jerai ketika waktu hujan kerana keadaan jalan yang licin dan banyak berselekoh tajam. Seeloknya naik awal pagi selepas Subuh untuk cuaca yang lebih baik.

Gunung Jerai yang sekarang bukanlah Gunung Jerai yang seperti dahulu. Kalau dulu naik Gunung Jerai tak tahu nak buat apa, sekarang ni ada banyak benda atau aktiviti yang boleh dilakukan di sini.

1. Jerai Skyview

Tarikan terbaru di Gunung Jerai yang baru dibuka awal bulan Disember tahun 2023 yang lepas. Sejenis platform yang diperbuat dari cermin kaca lutsinar menghadap hamparan sawah padi daerah Yan.

Yang gayat atau ada masalah anxiety memang tak digalakkan naik. Boleh lembik lutut duduk atas ni. Harga bayaran RM8.00 seorang dan pada satu masa hanya 25 orang sahaja yang boleh berada di platform ni.

Sesuai bagi mereka yang kaki OOTD untuk bergambar berlatarbelakang langit yang membiru.

2. Bermalam di Jerai Hill Resort

Satu-satunya resort yang terdapat di puncak Gunung Jerai yang diberi nama ‘Jerai Hill Resort’. Terdapat sebanyak 75 bilik di sini. Suasana sekitar sangat cantik dengan pokok-pokok bunga beriklim sejuk.

Biasa orang naik Gunung Jerai balik hari (daytrip) je. Tapi apa salahnya kalau nak bermalam di sini. Harga bilik sekitar RM3++ /malam untuk 2 orang siap sekali dengan sarapan. Yang sukakan kedamaian, kesunyian & kedinginan sangat sesuai la datang sini.

3. Ladang Strawberi (Strawberry Farm) Gunung Jerai

Mesti tak tahu kan dekat Gunung Jerai pun ada ladang strawberi? Dah tak payah kalut dah buat semak jalan nak pi Cameron Highland.

Ladang Strawberi pun terletak dalam kawasan berhampiran Jerai Hill Resort. Jalan kaki sahaja untuk ke sini. Masuk percuma sahaja cuma kalau nak duduk di meja dan kerusi yang disediakan kena la beli sesuatu.

Ada dijual minuman dan aiskrim berasaskan strawberi. Contohnya macam aiskrim RM4.00. Di sini jugak terdapat ratusan pasu pokok strawberi yang ditanam, tapi tak nampak buahnya lagi. Mungkin dah dipetik, atau pokok baru nak membesar.

Ya, boleh makan ais krim strawberi, beli fresh flower, dan jangan lupa beli strawberi fresh terbaik dari ladang. Strawberi putih yang viral pun ada. Di sini ada banyak produk makanan yang dibuat daripada buah strawberi, mesti rambang mata nak try yang mana.

4. Jungle Coffee Shop

Di dalam redupan hutan Gunung Jerai, siapa sangka ada kedai kopi kecil yang sangat estetik dan menarik. Terletak tak jauh dari tempat parking, boleh cari kedai kopi ni dekat dengan Taman Dinasour.

Layan emosi sambil minum kopi dengan angin bukit yang bertiup.

Itulah antara 4 aktiviti yang anda boleh cuba kalau ke Gunung Jerai. Kalau sempat lepas turun dari Gunung Jerai waktu tengahari, boleh cuba makan di Top D’Gurun, dekat sahaja dengan area kaki Gunung Jerai.

Kredit: Hazwan Hafiz

 


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply