Busana ‘Bunga Raya’ Aina Abdul Ambil Masa 3 Hari Untuk Siapkan! – Pereka Duo, Haszhashiim

Program realiti, The Masked Singer Malaysia musim ke-4 akhirnya melabuhkan tirainya semalam dengan menobatkan Bunga Matahari ataupun penyanyi di sebalik kostum tersebut, Stacy sebagai juara dengan markah keseluruhan sebanyak 80.91%.

Di sebalik keghairahan penonton untuk menantikan siapakah identiti Bunga Matahari selama ini, ramai juga teruja menantikan kemunculan istimewa tiga bekas juara The Masked Singer Malaysia terdahulu iaitu Aina Abdul (musim pertama), Shila Amzah (musim kedua) dan Ayda Jebat (musim ketiga).

Menariknya, Aina dan Shila muncul sebagai duo di atas pentas semalam dengan memakai busana tribute kepada kostum masing-masing ketika bertanding satu ketika dahulu.

Aina umpamanya memilih busana rekaan Haszhishaam yang mempunyai siluet menyerupai Bunga Raya menyala manakala Shila yang kini berbadan dua juga memilih rona merah sebagai tribute kepada kostum buah rambutan yang pernah digayakan dahulu.

Haszhishaam ketika dihubungi REMAJA telah berkongsi beberapa fakta menarik di sebalik pembikinan busana Aina Abdul itu. Kata pereka duo yang terdiri daripada Hasz Moza dan Hishaam Shamsul, busana ‘Bunga Raya’ tersebut hanya memakan masa tiga hari untuk disiapkan dengan kerjasama ketua penata gaya Aina, Abu Shaef Hamza.

“Abu mewakili pasukan Aina telah mengetengahkan idea busana berkonsepkan Bunga Raya memandangkan itu adalah karakter Aina ketika bertanding. Selebihnya, kami yang menentukan rekaan agar busana Bunga Raya kali ini tidak terarah kepada bentuk kostum tetapi lebih ke arah busana yang vogue.

“Kami sebenarnya telah ‘dirisik’ lebih awal. Cuuma memandangkan Hishaam tiada selama beberapa minggu, proses pembikinannya hanya bermula pada minggu lalu dan kami ambil masa tiga hari untuk siapkan,” ujar mereka.

“How big can we go? Itulah yang ditanya oleh penata gaya. Jadi kami pun membentuknya sebesar semalam..” – Haszhishaam

Biarpun penonton melihat busana Aina semalam kelihatan dempak dan mungkin sukar untuk diangkut naik ke atas pentas, hakikatnya ia tidak seberat yang disangka.

“Reliving my alter ego, Bunga Raya” catat Aina Abdul.

Titip Haszhishaam, struktur kelopak Bunga Raya terbabit dirangka menggunakan dawai dan berat keseluruhan busana hanyalah kira-kira 15 kilogram sahaja. Ia dibantu dengan penggunaan jenis fabrik lightweight agar Aina selesa beraksi di atas pentas.

Identiti Bunga

Bagi korang yang baru mengenali gerangan pereka duo ini, mereka terlebih dahulu melakukan pertunjukan debut bersempena acara KL Fashion Week pada tahun lalu bertemakan warna-warna alam: hijau, kuning dan jingga hangat. Ia juga menampilkan sejenis lagi bunga iaitu Bunga Matahari sebagai komponen utamanya.

Ditebak sama ada bunga bakal menjadi identiti Haszhishaam selepas ini, baik Hasz mahupun Hishaam tidak menolak perkara tersebut.

“Bagi kami, bunga juga adalah sebentuk ‘statement’ yang straightforward, mudah difahami dan boleh diterima oleh pemerhati serta sang pemakai.

“Sekiranya ada yang merasakan elemen bunga sebagai ‘costume-y’, kami tidak boleh menutup mulut mereka. Itu bergantung kepada preference masing-masing.

“Sama seperti pemakaian warna-warna terang dan neon yang tidak boleh diterima oleh semua orang, begitu jugalah busana bertemakan bunga-bungaan yang pernah kami siapkan. Tidak semua orang berani untuk memakainya. Tapi apa yang pasti, mereka yang berani memakainya adalah insan yang paling secure dengan identiti dirinya sendiri,” simpul pereka muda itu.

FOTO: Aina Abdul

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply