Di antara persoalan yang kerap bermain di fikiran peminat motosikal ialah berkaitan saiz fizikal mereka berbanding motosikal.
Ini terutamanya di kalangan anda yang memiliki fizikal yang mungkin sedikit besar atau dalam erti kata lain bersaiz 5XL. Contohnya bolehkah anda menunggang Modenas Ninja ZX25R?
Bagi menjawab persoalan di atas, RODA PANAS ingin tegaskan jawapannya adalah ya! Percaya atau tidak RODA PANAS akan huraikan melalui artikel ini.
Baru-baru ini RODA PANAS telah berpeluang untuk pandu uji sebuah jentera yang menjadi idaman anak muda pada masa kini iaitu Modenas Ninja ZX25R. Model ini telah dilancarkan pada September 2023 dan 100 pemilik pertama sangat bertuah kerana mereka telah diraikan pada majlis pelancaran tersebut.
Secara ringkas, model ini menggunakan enjin 4-lejang 4-silinder sebaris 250cc penyejukan cecair dengan suntikan bahan api (FI) yang menghasilkan output kuasa 44hp @ 15,500rpm dan tork 22Nm @ 12,500rpm. Lebih menarik perhatian adalah deruman enjin 4 inline yang sudah pasti mencuri perhatian penunggang lain ketika berada di jalan raya.
Menjawab kepada persoalan di atas, adakah sesuai jika seseorang individu berbadan besar menunggang motosikal “sport bike” 250cc ini? Kita tidak mahu sebut tentang kelajuan tetapi kita ingin berbicara tentang keselesaan.
Penulis sendiri mempunyai saiz badan yang agak besar iaitu mempunyai berat 120kg dan tinggi 180cm dan bagi merasa sendiri pengalaman menunggang motosikal ini penulis telah menunggang sejauh 100KM daripada Shah Alam ke Jugra di Banting Selangor dan berpatah balik semula ke Shah Alam. Perjalanan 100KM ini merangkumi laluan lebuh raya, jalan di kawasan perkampungan serta jalan besar utama di dalam daerah Kuala Langat.
“Riding Position”, selesa atau tidak?
Secara fizikalnya mungkin kita boleh lihat saiz motosikal ini agak kecil dan hampir sama dengan model Modenas Ninja 250 tetapi sudah pasti jika menggunakan enjin 4 silinder saiz motosikal ini akan lebih lebar berbanding dengan model 250 yang lain.
Namun apa yang penulis ingin sampaikan adalah daripada segi tempat duduk motosikal ini adalah cukup lebar bagi individu yang berbadan besar. Anda boleh mengatur “Seating Position” mengikut keselesaan anda kerana ruang tempat duduk cukup lebar untuk anda bergerak.
Dengan berat penunggang yang “oversize”, berapa “top speed” motosikal ni?
Motosikal ini mempunyai berat kering 184kg dan jika ditambah dengan berat penunggang sudah pasti melebihi 300kg. Penulis telah mencuba kelajuan maksimum motosikal ini dengan saiz badan yang dinyatakan tadi dan penulis telah mencatat kelajuan maksimum sehingga 180km/j di lebuh raya. Jadi walaupun anda mempunyai berat badan yang agak besar tetapi motosikal ini masih mampu menghasilkan kelajuan yang tinggi dan bagi penulis ianya sudah cukup untuk sebuah jentera 250cc.
Sistem Suspensi Agak Lembut
Satu perkara yang penulis rasa perlu ada penambahbaikan adalah daripada segi sistem suspensi di bahagian belakang. Pertama, apabila penulis duduk sahaja di atas motosikal ini, secara drastik bahagian tempat duduk belakang terus menjadi rendah dan kaki penulis mampu untuk memijak tanah sepenuhnya.
Kedua, ketika mengambil selekoh dalam keadaan yang laju, sistem suspensi akan berayun dan motosikal boleh hilang keseimbangan kerana faktor suspensi yang terlalu lembut.
Modenas mungkin telah maklum tentang isu ini dan penulis ada mendengar khabar angin bahawa untuk model Modenas Ninja ZX25R-R untuk tahun 2024 akan hadir dengan sistem suspensi belakang daripada jenama Showa yang boleh laras. Sekiranya betul, motosikal ini bakal menjadi sebuah motosikal yang cukup sempurna.
Secara kesimpulanya penulis sangat berpuas hati dengan motosikal ini dan bagi individu yang mempunyai badan yang agak besar jangan risau motosikal ini sesuai dengan anda dan penulis pasti anda akan rasa untuk tunggang motosikal ini setiap hari.Harga semasa Modenas Ninja ZX25R adalah RM33,900 tidak termasuk cukai jalan dan insurans namun untuk model ZX25R-R harga dan model itu sendiri masih belum diumumkan oleh pihak Modenas.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.