Wujudnya Bunga Berwarna Hitam Di Dunia Ini, Cantik Pula Tu. Bunga ini mempunyai elemen estetika yang tersendiri, walaupun secara realitinya tiada bunga yang mempunyai warna gelap asli. Kebiasaannya, bunga yang digelar ‘bunga hitam’ ialah yang mempunyai rona-rona gelap kehitaman seperti ungu, merah atau coklat. Rona hitam menjadi simbolik kepada kuasa, keanggunan, perpisahan dan ucapan selamat tinggal. Maka, tidak hairanlah sejak dahulu lagi, bunga ini sering menjadi buruan pencinta flora kerana sifatnya yang eksotik. Peredaran masa dan kemajuan sains dan teknologi pula menjadi pemangkin kepada pelbagai jenis hibrid bunga yang hampir berwarna gelap.
Meskipun warna-warni bunga-bungaan dilihat cukup sebagai penghias taman, implementasi bunga-bunga ‘hitam’ sebenarnya mampu menambahkan elemen drama dan misteri kerana warna bunga yang gelap memberikan kontras yang menawan kepada tanaman-tanaman lain yang berwarna cerah, lebih-lebih lagi warna kuning, merah, jingga dan putih. Antara spesis-spesis bunga yang popular ialah:
- Black Calla Lily (Zantedeschia aethiopica)
Bunga yang berasal dari benua Afrika Selatan ini mendapat jolokan ‘calla’ yang bermaksud cantik dalam bahasa Greek. Rona maroon dan ungu gelap yang dimiliki calla lily ini menjadikannya hampir kelihatan seperti warna gelap. Kewujudannya yang nadir berbanding varian berwarna putih menjadikan spesis ini amat dihargai oleh pencinta bunga.
- Black Tulip (Tulipa)
Bunga tulip hitam ialah spesis bunga hibrid yang memiliki campuran warna ungu, merah wain atau merah baldu yang hampir kepada hitam. Tulip hitam terbahagi kepada dua kategori iaitu spesis dan taman. Antara jenis tulip hitam yang banyak ditanam ialah Queen of the Night, Paul Scherer, Ebony Queen, Nearly Black dan Black Parrot.
- Black hollyhock (Alcea rosea nigra)
Varian hollyhock ini pernah dinyatakan pada 1629 dan ditanam di taman-taman di Monticello oleh Thomas Jefferson. Spesis tradisional ini sememangnya memukau dengan rona hampir gelap dengan sedikit bayangan merah.
- Petunia
Bunga petunia ‘hitam’ pertama di dunia ini berjaya dibiakkan oleh Ball FlowerPlant hasil kajian selama empat tahun. Seperti kebanyakan bunga ‘hitam’, ia sebenarnya berwarna ungu gelap yang hampir menyerupai hitam. Lebih dikenali sebagai ‘Black Velvet’, spesis ini mempunyai kelopak yang bertekstur seakan baldu.
- Hyacinth
Hibrid ‘midnight mystique’ ialah bunga hyacinth hitam yang pertama diperkenalkan pada tahun 2005, selepas ujian benih selama 16 tahun oleh pakar daripada Thompson and Morgan. Spesis hibrid ini menghasilkan bunga berwarna ungu gelap yang sangat harum.
BACA: Tip Bagi Petunia Dalam Pasu Tahan Lebih Lama Dan Berbunga Lebat
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.