Laman Belakang Rumah Muafakat Dari Lapan Jiran Bersatu Hati

Laman belakang rumah yang dinamakan Garden 8 di Taman Perwira di sini berjaya dihasilkan oleh lapan jiran yang memegang prinsip jiran sepakat membawa berkat. Presiden Garden 8, Encik Iqmal Fajri Danial berkata, idea mengindahkan landskap belakang rumah itu tercetus ketika pandemik Covid-19 dengan modal RM15,000.
Menurutnya, sebelum Garden 8 dihasilkan, dia bersama keluarganya telah memulakan projek kebun dan gaya hidup lestari di rumahnya sebelum idea itu dikembangkan bersama jiran-jiran terdekat.

“Projek Garden 8 dimulakan pada 29 September lalu melalui perbincangan sebelum mencapai kata sepakat bersama tujuh jiran paling dekat iaitu empat rumah di Jalan Berlian dan sebahagian lagi dari Jalan Zamrud untuk membangunkan kebun kejiranan.

“Kawasan ini di duduki sejak 55 tahun lalu dan terbiar begitu sahaja. Kami merancang untuk menghidupkan kawasan tersebut tanpa mengganggu urusan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) atau mana-mana perkhidmatan awam seperti bomba serta IWK. Malahan Garden 8 direka untuk lebih memudahkan urusan-urusan tersebut dijalankan.

Pokok sayuran yang segar dengan penggunaan baja kompos yang terbaik untuk laman ini.

Puan Aida Haniza yang dihubungi oleh IMPIANA untuk merealisasikan impian melihat keindahan lorong belakang rumah Garden 8 ini tercapai apabila Puan Aida berbesar hati menerima kunjungan IMPIANA. Beliau adalah isteri kepada Encik Iqmal yang sangat bersemangat dengan laman mini pada lorong belakang rumah mereka.

“Bermula dengan bercucuk tanam di halaman rumah pada musim PKP lalu membuatkan saya dan suami mula berkongsi minat dengan jiran tetangga yang turut mempunyai minat untuk menghasilkan tanaman yang bukan sahaja hiasan malahan adalah sumber makanan untuk mereka semua”, kata Puan Aida. Apabila jiran yang lain juga turut memberi sokongan dan semangat untuk berbakti pada halaman belakang rumah mereka yang terbiar usang tanpa sebarang penjagaan rapi ini yang menghasilkan satu konsep yang cukup baik dan sempurna untuk di contohi.

Menurut beliau, banyak manfaat mereka peroleh tersebut sejak Garden 8 diwujudkan termasuk hasil tanaman organik selain mengeratkan hubungan kejiranan serta menikmati persekitaran yang nyaman. Inisiatif untuk mengindahkan kawasan belakang rumah itu adalah idea bersama suaminya, Iqmal Fajri Danial, bagi mengisi masa terluang jiran tetangga sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Herba perubatan menjadi salah satu tanaman di Garden 8

Kata Puan Aida Haniza, kerja mengindahkan kawasan lorong belakang itu, bagaimanapun hanya bermula tiga bulan lalu dan selepas kontraktor menyiapkan laluan pejalan kaki dan beberapa kerja utama, mereka lapan keluarga mula menghiaskannya.

“Kami menanam pelbagai jenis tanaman bunga, sayur-sayuran dan herba bagi memanfaatkan sepenuhnya ruang yang ada.

“Selain itu, untuk menceriakan lagi kawasan kebun taman ini, kami turut memasang rumput karpet, membina pintu gerbang serta pelbagai dekorasi menarik lain seperti papan tanda penunjuk arah bandar utama dunia, stesen cuaca, orang-orangan sawah padi dan banyak lagi.

Orang-orang dibuat untuk mengelakkan haiwan seperti burung dan sebagainya menggangu tanaman.

“Alhamdulillah, berkat kerjasama semua lapan keluarga, kebun taman itu kini menjadi kawasan yang indah dan tempat kegemaran seisi keluarga untuk bersantai,” katanya.

Menurut Aida Haniza lagi, lebih menarik Garden 8 itu juga mempraktikkan gaya hidup hijau dengan menggunakan sistem pengumpulan air hujan (SPAH), mengitar semula sisa makanan rumah dan kebun untuk dijadikan baja kompos serta mengitar semula 3R (plastik, tin dan kertas).

Mereka juga menggunakan tenaga solar untuk lampu yang dipasang di kebun taman itu bagi menerangi kawasan berkenaan pada sebelah malam. Kini Garden 8 itu bukan sahaja tempat mereka lapan keluarga mengukuhkan ukhuwah sesama jiran tetangga, malah menjadi tempat mengeluarkan peluh dengan aktiviti berkebun pada waktu lapang.

“Kebun taman ini juga memberi manfaat kepada kami apabila tanaman sayur-sayuran seperti petola, timun, tomato, asparagus, bendi, ulam raja, seria, bunga kantan, kacang panjang, terung, kobis, cili dan banyak lagi sudah mula berbuah.

“Tanaman herba seperti herba Inggeris (daun basil, rosemary), herba untuk perubatan dan herba untuk masakan juga sudah boleh dipetik.

“Berkat berbudi kepada tanah, hasil tanaman sayur-sayuran dan herba di laman di belakang rumah ini sedikit sebanyak mengurangkan belanja dapur kami semua,” kata Aida Haniza yang suaminya turut meraih tempat kedua dalam Anugerah Kejiranan Hijau 2021 (Kategori Individu) sempena Hari Perancangan Bandar Sedunia anjuran Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLAN Malaysia), tahun lalu.

Katanya, mereka turut mengalu-alukan mana-mana pihak untuk berkunjung ke Garden 8 itu bagi mengambil ilham untuk membangunkan kebun kejiranan di kawasan masing-masing. “Harapan kami semoga Garden 8 ini dapat memberi inspirasi pada sesiapa sahaja untuk membangunkan kebun kejiranan di kawasan rumah mereka.

“Semuanya bergantung kepada usaha, hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih. “Apapun, jika memiliki kawasan kejiranan yang indah sememangnya satu bonus kerana ia memberi keselesaan dalam kehidupan kita seharian,” katanya.

IMPIANA berbesar hati kerana kunjungan lalu banyak memberi makna kepada IMPIANA dan followers yang lain. Bagi anda yang memiliki lorong kediaman yang terbiar dan kurang rapi ini adalah salah satu teknik dan cara untuk anda dan jiran-jiran anda mula merancang untuk menghasilkan sebuah laman mini yang terbaik seperti ini.

Terima kasih kepada warga Garden 8, IMPIANA amat menyokong hasil inspirasi kebun moden ini untuk dijadikan modul pada taman perumahan yang akan datang. TAHNIAH!
Iqmal Fajri Danial, Aida Haniza Adnan, Rafiah Mohamed, Normazwin Jamaluddin, Abdul Latiff Mohamed, Norsiah Abu Samah, Hafidah Hassan, Azri Shamsul, Fazillah Kamar, Arockiamary Selvanathan dan Fatinah Sulaiman.

Saksikan :

House Tour Setia Alam Sari Kajang Buat Ramai Terpegun

 


Posted

in

,

by

Comments

Leave a Reply