Tip WAJIB tahu Untuk Pastikan Tanaman Berpasu Sentiasa Subur

WTerdapat banyak variasi container garden seperti tanaman herba, bunga mahupun sayur-sayuran yang boleh diusahakan dengan jaya. Namun, anda haruslah mengetahui apakah do’s & don’ts dalam membentuk sebuah container garden yang beroleh hasilnya. Ini termasuklah aspek seperti jenis tanaman itu sendiri, tanah, air, lokasi dan pemilihan bekas tanaman yakni pasu. Pendek kata, ikuti panduan yang IMPIANA sediakan ini untuk menghasilkan tanaman dalam pasu yang menjadi dan subur.

 

Jenis Tanaman

Pastikan tumbuhan yang anda pilih untuk container garden secocok atau blend antara satu sama lain. Aspek yang dititikberatkan di sini termasuklah keperluan dari segi pencahayaan, air dan tanah. Jika anda melakukan kombinasi tumbuhan yang berbeza keperluan ini, maka sukar untuk tumbuhan ini hidup secara harmoni. Misalnya, tumbuhan yang memerlukan cahaya matahari dengan banyak seperti pokok buluh hiasan (Phyllostachys aurea) boleh ditempatkan bersekali dengan kategori yang sama. Namun, bagi penjagaan yang mudah, menanam satu jenis tumbuhan dalam sebuah pasu adalah cadangan yang terbaik. Selepas itu barulah anda boleh bermain dengan saiz tumbuhan, tekstur, warna dan setting tertentu bagi mewujudkan sebuah container garden yang bukan sahaja berjaya, namun tampil harmoni dan menenangkan!

 

 Tanah

Penggunaan jumlah yang sederhana daripada tanah di kawasan laman disyorkan bagi membentuk campuran tanah yang seimbang untuk container garden. Ambil bahagian tanah yang digali beberapa inci ke dalam tanah supaya anda memperoleh tanah yang bersih dan bebas daripada campuran bendasing seperti biji benih, serangga, sisa binaan dan sebagainya yang lazimnya terdapat di permukaan tanah.

Campuran tanah yang seimbang juga boleh diperoleh dengan campuran tanah laman, pasir dan peat moss. Jika anda ingin menanam sayuran untuk container garden, lebihkan penggunaan pasir dan kurangkan peat moss dalam campuran tanah tadi. Manakala, tumbuhan berbunga lazimnya memerlukan penyiraman yang lebih kerap. Oleh yang demikian, kondisi tanah yang lebih lembap diperlukan dengan memberikan ekstra tanah laman atau peat moss. Ia dapat mengekalkan kelembapan tanah dengan sempurna.

Jika anda ingin membeli campuran tanah yang telah siap, pilih beg tanah yang sederhana berat. Bukan terlalu berat kerana ia lazimnya hadir kompak dan memiliki isian yang padat. Manakala, beg tanah yang terlalu ringan juga tidak bagus untuk kondisi tanah container garden. Pilih antara keduanya.

 

Lokasi

Lokasi di mana anda menempatkan tanaman berpasu sangat penting kerana ia mempengaruhi pengamatan atau pancaran cahaya matahari, sama ada mencukupi atau sebaliknya. Iklim tropika yang menghasilkan cuaca panas sepanjang tahun bukan penentu tanaman anda mendapat cahaya yang sempurna. Sekiranya anda meletakkan di lokasi yang salah, maka tanaman tidak dapat tumbuh dengan baik. Oleh yang demikian, lakukan penilaian terhadap pancaran cahaya dengan meletakkan bekas tanaman di lokasi tertentu yang anda pilih. Lihat berapa banyak cahaya yang diperoleh dan berapa lama jangka masa bekalan cahaya matahari yang diperoleh. Lakukan selalu bagi memastikan yang terbaik untuk container garden anda. Sentiasa peka, bagi tumbuhan full sun haruslah mendapat bekalan cahaya matahari sekurang-kurangnya 6 jam sehari. Manakala, tumbuhan full shade memerlukan kurang tiga jam pancaran cahaya dalam masa sehari.

Istimewanya, kebaikan tanaman berpasu ini adalah anda boleh mengalihkan pasu jika anda dapati cahaya tidak mencukupi atau ingin meletakkan tanaman di tempat yang redup bagi mengelak pancaran secara terus. Oleh itu, anda harus mengetahui jenis tanaman pada container garden anda bagi mengelakkan situasi seperti melecur akibat pancaran cahaya berlebihan atau keguguran daun dan sebagainya.

 

Pemilihan Pasu

Sentiasa pastikan pasu anda memiliki lubang di dasar pasu bagi tujuan pengairan air yang baik. Anda juga boleh meletakkan satu hingga dua inci lapisan batu kerikil di dasar pasu bagi tujuan yang sama. Tahukah anda bahawa terdapat banyak pasu yang tiada lubang di dasarnya kerana ia lazimnya dijadikan pasu hiasan atau dekoratif. Ramai yang terlepas pandang kerana pasu dekoratif ini bukan bagi tujuan penanaman dan tidak praktikal dijadikan pasu bagi container garden anda bagi jangka masa yang panjang. Lubang pengairan ini adalah satu kemestian!

 

Tahukah anda bahawa pemilihan pasu mampu mempengaruhi perasaan dan membentuk mood anda sebagai pemilik? Pasu juga menggambarkan sesuatu nilai seperti classy, kreatif, moden, sofistikated, bergaya, mesra alam, primitif dan sebagainya. Jadikan pasu dengan fungsi tertentu seperti titik fokal di taman, pembahagi ruang, membentuk privasi, memberi accent kepada landskap dan banyak lagi.

 

Penyiraman

Periksa pasu atau bekas tanaman anda setiap hari bagi melihat keperluan air. Ini kerana jika tanaman anda kekurangan bekalan air, ia boleh membantutkan pertumbuhan container garden. Ia berbeza dengan tanaman yang tumbuh di permukaan tanah, akar bagi tanaman container garden tidak mampu menembusi ke dalam tanah bagi mencari sumber air. Di samping itu, pastikan adanya ruang satu hingga dua inci di permukaan atas bekas tanaman dengan tanah. Ini bagi memastikan apabila penyiraman dilakukan, air siraman tidak terkeluar daripada bekas tanaman dan akhirnya hanya permukaan atas tanah sahaja yang basah dan lembap.

 

Penyiraman perlu dilakukan sebelum tanaman menunjukkan tanda-tanda seperti layu, kekuningan dan tidak sihat. Terdapat sesetengah jenis tanaman yang dapat bertoleransi dengan keadaan tanah yang kering dan tidak memerlukan keadaan yang lembap berlebihan. Tumbuhan sukulen merupakan contoh kepada situasi ini dan berlawanan sifat dengan tumbuhan tropika. Oleh itu, pastikan anda memahami jenis tumbuhan yang anda tempatkan di container garden anda.

 

Penyiraman juga akan mengelakkan kadar garam yang tinggi berkumpul dalam tanah. Leaching (lebih air) akan membawa garam dalam tanah yang terhasil melalui pembajaan seterusnya mengelakkan akar terbantut.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply