Jika sebelum ini kebanyakan daripada pemilik kediaman kebiasaannya menanam tanaman edible ini di dalam pasu atau batas, sebenarnya ia boleh menggunakan apa-apa sahaja bekas terbuang yang terdapat di sekitar kediaman. Antaranya bekas plastik, periuk yang sudah tidak digunakan, bekas pencuci dan sebagainya. Anda masih lagi boleh membuatkan ruang taman dapur anda tampil menarik dengan mengolah tanaman dapur ini sekreatif mungkin.
Menukar bahan-bahan terbuang ke bentuk yang bermanfaat dan baik sebenarnya tidak sukar. Siapa kata anda perlu membeli pasu cantik dan menarik barulah tanaman anda menjadi? Guna pakai apa yang ada di sekeliling rumah kerana selain menjimatkan kos, kita juga sedang membantu melahirkan alam sekitar yang lebih baik tanpa pencemaran. Ini sedikit sebanyak dapat menyumbang ke arah memelihara alam sekitar.
Adalah sangat digalakkan dalam membina Edibel Landskap ini, segala tanaman yang ingin ditanam, mestilah menggunakan bekas atau pun bahan yang dibuang atau pun bahan terbuang yang boleh dikitar semula seperti botol kosong, tayar terpakai, kayu-kayu palet , baldi lama, kasut, helmet dan kereta sorong (wheel barrow) yang telah rosak. Barangan-barangan terpakai ini, boleh diolah semula supaya ia kelihatan lebih menarik dan ceria seperti dicat baru atau pun dikekalkan pada keadaan asal supaya ia kelihatan lebih estetik.
Secara konsepnya, Edibel Landskap ini dibina pada mulanya untuk memenuhi keperluan bahan makanan untuk seisi keluarga ataupun lebih kepada penggunaan sendiri.
Tanaman seperti sayuran yang selama ini ditanam di batas-batas sayuran secara konvensional, telah diberi nafas baru dalam aspek susun aturnya supaya kelihatan lebih menarik dan ceria dan dapat menghasilkan persekitaran yang menarik. Setiap tanaman yang boleh dimakan ini, mempunyai karakter yang menarik dari segi bentuk ,warna dan aromanya tersendiri.
Tanaman seperti Kesum (Polygonum minus), Sawi (Brassica sp), Bayam Merah (Amaranthussp), Limau Purut (Citrus hystrix), Kari (Murraya koenigii), Kaduk (Piper sarmentosa), Daun Pandan (Pandanus odorus), Bendi (Hibiscus esculenthus), Cili Api (Capsicum frutescens) dan juga Serai Makan(Cymbopogun citratus), disusun secara menarik sama ada di atas tanah terus atau pun menggunakan bekas tanaman seperti pasu yang dihias kawasan sekitarnya bersama dengan beberapa tanaman hiasan seperti Bunga Marigold (Tageteserecta), Siantan (Ixorasp),Bunga Raya(Hibiscus sp),Bunga Tahi Ayam(Lantana camara),Pokok Juang-juang (Cordyline sp), Pokok Puding(Codieum sp), Pinang Merah (Cyrtotachys lakka), dalam usaha untuk mewujudkan suasana yang ceria terhadap ‘kebun’ kita. Anda boleh mencampurkan tanaman hiasan dan juga tanaman edible untuk menghasilkan sebuah kawasan hijau di rumah berskala kecil tetapi tetap kelihatan menarik.
Perkongsian dari: Muhamad Adli Salihin Samsudin, Pegawai Jabatan Pertanian Serdang
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.