7 Tip Mudah Tanam Buah Strawberi Tanah Rendah Menjadi Dan Sedap

Sebenarnya, ada spesies strawberi yang sesuai untuk ditanam di tanah rendah Malaysia yang tidak memerlukan kaedah rumah hijau pun. Anak benihnya yang mudah didapati secara online juga menyebabkan tanaman ini kian menjadi popular. Namun anda perlu pastikan perkara-perkara tersebut perlu dipatuhi bagi menjadi habitat sempurna untuk tanaman ini:

1. Medium/tanah

Strawberi memerlukan medium tanaman yang peroi dan bersaliran baik. Yang menjadi keutaman ialah medium tersebut mampu memegang kelembapan dalam jangka masa yang lama. Kebanyakan nurseri menggunakan sabut kelapa yang telah dirawat sebagai medium tanaman tanpa tambahan bahan lain. Ini kerana sifat sabut kelapa yang ringan serta mampu mengekalkan kelembapan amat sesuai dengan kondisi pokok strawberi. Secara tidak langsung sabut tersebut berupaya menjadi baja kompos.

2. pH Medium

Pokok strawberi memerlukan pH yang seimbang dengan keperluannya. Untuk mendapatkan saiz buah yang optimum, pH ideal untuk tanaman ini adalah antara 5.5 hingga 7.

3. Pencahayaan

Pokok strawberi memerlukan pencahayaan sekurang-kurangnya 4 jam sehari untuk iklim malaysia. Berbanding di negara beriklim sejuk, strawberi perlukan pengamatan cahaya minimum 6 jam sehari. Namun tidak terlalu terus. Letakkan di kawasan separa teduhan. Oleh itu, strawberi sesuai ditanam di ruang anjung kediaman.

4. Keperluan saiz kawasan

Pokok strawberi tidak suka tumbuh secara berhimpit. Ia akan mengakibatkan kesukaran penghasilan bunga dan secara tidak langsung memberi kesan kepada hasil buah. Hal ini terjadi disebabkan apabila pokok terlalu berhimpit, bahagian bawah atau pangkal pokok yang menghasilkan kudup bunga mengalami kesukaran menerima cahaya matahari. Oleh itu, jarak bagi setiap tanaman perlu dikekalkan sekurang-kurangnya 20 inci setiap satu.

5. Siraman

Jika anda menggunakan sabut kelapa sebagai medium tanaman, penyiraman boleh dilakukan apabila medium kelihatan kering atau jika perlu. Perlu diingat,strawberi memerlukan medium tanaman yang sentiasa lembap bukan basah tau. Jika terlalu banyak air, ia akan merosakkan akar serta menggalakkan pertumbuhan kulat. Siraman paling perlu dijaga ketika buah sedia dipetik. 3-5 hari sebelum dipetik, penyiraman perlu dikurangkan untuk mengelak buah masam.

6. Baja

Pokok strawberi paling sesuai dengan baja cecair kerana ia lebih mudah diserap. Tambahan pula, sistem akar strawberi yang terlalu pendek sukar menyerap atau mencapai baja jenis slow release. Baja kimia yang sesuai digunakan untuk strawberi adalah larutan 12:12:12 untuk tujuan tumbesaran pokok manakala larutan 15:15:15 digunakan untuk penggalak buah. Pembajaan perlu dilakukan sekurang-kurangnya dua minggu sekali. Namun AWAS! Baja kimia bersifat panas dan mudah merosakkan akar pokok. Oleh itu, penggunaan baja dan racun kimia perlu minima.

Seeloknya, pokok strawberi sesuai menggunakan baja organik. Walaupun produktivitinya tidak optimum, jangka hayat tanaman lebih tahan lama berbanding penggunaan baja kimia.

7. Pemangkasan

Daun pokok strawberi perlu dipangkas setiap bulan. Sebaiknya, 7-9 daun sahaja yang dibenarkan  bagi setiap pokok. Ini kerana, jika daunnya terlalu banyak penghasilan buah akan terganggu. Ia disebabkan oleh permukaan bawah batang pokok yang menghasilkan daun, sulur dan bunga terlindung dari cahaya matahari. Lebih kerap anda memangkas, lebih banyak sulur dan buah yang dapat anda hasilkan. Selain itu juga, bilangan sulur perlu dikurangkan untuk membolehkan hasil buah lebih banyak.

 

Sumber: Amanda strawberry

 


Posted

in

,

by

Comments

Leave a Reply