Cara Mudah Tanam Sayur Sesuai Untuk Rumah Di Bandar
Seringkali warga bandar mengeluh macam mana nak bercucuk tanam kalau ruang yang ada pun sempit dan muat-muat untuk keperluan keluarga saja. Sebenarnya ada banyak cara yang sesuai cuma mungkin mindset kita dah terbiasa kalau nak tanam pokok mestilah di atas tanah. Dengan panduan daripada Jabatan Pertanian ini, mereka yang tinggal di flat, apartment, rumah teres lot tengah dan sebagainya boleh amalkan menanam sayur cara ini. Mudah dan dapat memberi manfaat buat keluarga kita.
Konsep Laman Edibel
Laman edibel adalah satu konsep yang menggabungkan penanaman antara tanaman edibel atau tanaman makanan dan tanaman hiasan mengikut nisbah 70:30 iaitu 70% tanaman makanan dan 30% tanaman hiasan. Gabungan ini, selain menjadikan persekitaran kelihatan menarik, ia juga boleh menjadi sumber makanan segar, berkhasiat dan selamat dimakan.
Tanaman edibel yang dipilih dan ditanam seharusnya dapat menampung secukupnya untuk satu hidangan dan tanaman hiasan pula berfungsi sebagai agen biologi kawalan serangga perosak. Kebiasaannya jenis tanaman yang boleh ditanam adalah sayuran jenis daun seperti sawi, pak choi, kangkung, bayam dan jenis sayur buah seperti cili, terung, bendi, peria. Tanaman herba seperti serai, kunyit, kari, pandan dan pokok limau sesuai ditanam kerana ia adalah tanaman yang lasak dengan penyelenggaraan yang mudah.
Penanaman dalam Bekas/Pasu
Bagi kawasan rumah kediaman yang mempunyai ruang persekitaran yang agak sempit seperti rumah pangsa atau flat, penanaman sayuran dan herba sesuai di tanam di dalam pasu, bekas terpakai atau polibeg. Selain mudah dari segi penyelenggaraan tanaman seperti menggembur media, membaja, merumpai dan menyiram, penanaman dalam pasu juga menghasilkan keseragaman reka bentuk di halaman rumah yang sempit.
Terdapat pelbagai jenis pasu yang berbeza dari segi bentuk dan saiz yang ada dijual di pasaran. Pemilihan jenis tanaman yang sesuai ditanam di dalam pasu adalah bergantung kepada saiz pasu. Jenis tanaman sayur-sayuran yang sesuai ditanam di dalam pasu bersaiz sederhana kecil (±10”x10”) adalah dari jenis akar serabut, semusim, tidak menjalar dan ketinggian pokok di bawah 1 meter.
Kebiasaan sayuran jenis daun yang ditanam di dalam pasu adalah seperti sawi, pak choi, kangkung, bayam, salad, kuchai manakala kailan dan jenis sayur buah seperti cili, terung dan bendi.
Bagi tanaman herba yang sesuai ditanam di dalam pasu adalah seperti kunyit, kari, pandan, lidah buaya, rosemary, kesum, pegaga, stevia dan pokok limau. Walau bagaimanapun, penuaian yang kerap perlu dibuat memandangkan tanaman ini mudah membiak.
Tanam Dalam Bekas Recyle
Konsep guna semula bahan terbuang/terpakai sesuai dipraktikkan di kediaman dengan menjadikan botol plastik, bekas air minuman, tong drum plastik, tin, bekas kaca, kain dan lain-lain lagi sebagai bekas tanaman. Terdapat pelbagai ciptaan boleh dihasilkan dari bahan terbuang/terpakai seperti menara botol, mini aquaponik, bekas siraman dll. Tambahan lagi, dengan sedikit sentuhan kreativiti dalam inovasi ini boleh menjadi pendapatan sampingan kepada penduduk bandar.
Bahan buangan sisa dapur seperti sayur, buah, ikan dan ayam boleh diproses menjadi baja semula jadi dan sebagai bahan untuk kawalan serangga manakala bahan buangan makanan jika ditambahkan dengan tanah bermikrob boleh pula dijadikan baja kompos dan digunakan semula pada tanaman. Selain aktiviti ini dapat menjimatkan kos input pertanian, mengurangkan sisa buangan rumah, menjamin keselamatan dan kesihatan makanan itu sendiri malah dapat menggalakkan penduduk bandar untuk bersosial dan berkreativiti.
Penanaman Vertikal
Penanaman vertikal dihasilkan di atas permukaan yang menegak dengan cara pokok tumbuh di atas permukaan tersebut yang disokong oleh struktur tertentu dengan mengandungi medium tanaman mencukupi. Konsep ini sesuai untuk diaplikasikan di kawasan terhad dengan mengambil kira faktor seperti ruang, kesuaian tanaman, jenis medium tanaman dan tarikan graviti. Selain itu, penyiraman tanaman diberi secukupnya sahaja.
Jenis tanaman sayur-sayuran yang sesuai ditanam menggunakan konsep ini adalah dari jenis akar serabut, semusim, tidak menjalar, batang lembut dan ketinggian kurang dari 1 kaki. Kebiasaannya adalah sayuran jenis daun seperti sawi, pak choi, kangkung, bayam, salad dan kuchai.
Bagi tanaman herba yang sesuai adalah dari jenis akar serabut, merayap dan renek seperti rosemary, kesum, pegaga dan stevia.
Teknik Tanaman Hidroponik
Selain penanaman terus ke tanah atau penanaman menggunakan pasu, beberapa teknologi dalam pertanian boleh diaplikasikan di kawasan kediaman yang sempit seperti teknologi mini fertigasi, Nutrient Film Technique (NFT) dan piskiponik.
Teknologi fertigasi adalah satu kaedah penanaman dimana baja dalam bentuk larutan disalurkan melalui sistem pengairan. NFT adalah teknik hidroponik (tanaman sayur-sayuran tanpa tanah) di mana baja dalam bentuk larutan dialirkan melalui satu kitaran saluran bersambung dan piskiponik adalah kombinasi aktiviti akuakultur (ternakan ikan dalam kurungan) dan hidroponik.
Dengan sedikit pengubahsuaian, semua teknologi ini boleh diaplikasikan di kawasan kediaman yang terhad, sempit dan tiada tanah untuk bertani.
Jenis tanaman sayur-sayuran yang sesuai ditanam menggunakan teknologi NFT dan piskiponik adalah dari jenis akar serabut, semusim, tidak menjalar, batang lembut dan ketinggian kurang dari 1 kaki. Kebiasaannya adalah sayuran jenis daun yang ditanam seperti sawi, pak choi, kangkung, bayam, salad dan kuchai.
Ingin kongsi idea dekorasi rumah anda? Klik link ini untuk join telegram grup Geng Dekor Impiana: https://t.me/gengdekorimpiana
Ingin lebih tahu pelbagai tip untuk dekorasi rumah? Jangan lupa ikuti kami di Telegram dan TikTok rasmi IMPIANA.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.