APABILA tular video yang memaparkan kenyataan bahawa Sayidatina Khadijah RA, isteri Rasulullah SAW berasal dari alam Melayu, ia menimbulkan perbincangan hangat.
Fakta itu diragui kesahihannya kerana ia melibatkan insan kesayangan yang begitu dekat dengan Nabi Muhammad SAW dan antara Muslimat terawal mengucap syahadah.
Walaupun namanya sering meniti pada bibir umat Islam, tetapi tidak ramai mengenali lebih mendalam tentang figura wanita Ummul Mukminin itu.
Merujuk kepada artikel yang pernah disiarkan dalam laman web Maktabah Albakri, pemilik nama penuh Khadijah binti Khuwailid bin Asad bin ‘Abd Al-’Uzza bin Qusai bin Kilab Al-Qurasyiyyah Al-Asadiyyah itu merupakan orang pertama beriman dan membenarkan dakwah Rasulullah SAW sebelum sesiapa pun.
Menelusuri salasilahnya, Khadijah pernah berkahwin sebelum direzekikan bertemu jodoh dengan Rasulullah SAW.
Menerusi artikel sama, Khadijah pernah bernikah dengan Abu Halah bin Zurarah At-Tamimi, ‘Atiq bin ‘Abid bin Abdullah bin Umar bin Makhzum dan selepas itu barulah Nabi Muhammad SAW.
“Khadijah berkahwin dengan Baginda SAW yang ketika itu berumur 25 tahun, manakala usianya pula 15 tahun lebih tua daripada suaminya.
“Apa yang menariknya, nasab Khadijah bertemu dengan nasab Nabi Muhammad SAW pada Qusai.
“Beliau juga ialah wanita pertama dinikahi oleh Nabi Muhammad SAW dan orang pertama menerima dakwah Islam,” katanya.
Jika mahu disingkap satu persatu, terlalu banyak perkara baik dapat dilihat menerusi sikap yang ditonjolkan oleh ibu kepada anak-anak Rasulullah SAW itu dan keperibadian dimilikinya.
Khadijah digambarkan sebagai seorang yang paling sempurna, berakal (bijak), mulia (bermaruah), beragama, suci, pemurah dan termasuk dalam kalangan ahli syurga.
“Saat Baginda dalam ketakutan, beliaulah insan yang menenangkannya dan membawanya berjumpa sepupunya, Waraqah,” katanya dipetik menerusi laman web zulkiflialbakri.com.
Graf keperibadian mulia yang dimiliki oleh Khadijah itu boleh dilihat apabila Nabi Muhammad SAW selalu memuji dan menyebut kebaikan serta kelebihannya berbanding dengan Ummul Mukminin yang lain, kata Maktabah Albakri.
Aisyah RA pernah berkata: “Aku tidak pernah cemburu terhadap mana-mana wanita (isteri-isteri) Nabi Muhammad SAW sebagaimana kecemburuanku terhadap Khadijah. Dia telah meninggal dunia sebelum Baginda mengahwiniku. (Kecemburuanku) kerana aku biasa mendengar Baginda menyebut namanya. ALLAH memerintahkan Baginda untuk memberitahu kepadanya (Khadijah) khabar gembira berupa rumah yang dibina daripada permata. Sekiranya Baginda menyembelih kambing, Baginda akan menghadiahkannya kepada sahabat-sahabatnya (yakni sahabat Khadijah) hinggalah kesemua mereka mendapatkannya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Satu fakta lagi yang perlu diketahui, Nabi Muhammad SAW tidak berkahwin dengan perempuan lain ketika Baginda bersama Sayidatina Khadijah.
Baginda SAW sangat menyayangi dan mencintai Khadijah.
Dalam satu riwayat, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya aku telah dikurniakan perasaan cinta terhadapnya (Khadijah).” (Hadis Riwayat Muslim)
Menerusi hadis lain, Baginda SAW bersabda: “ALLAH ‘AZZA WA JALLA tidak memberikan ganti kepada aku dengan yang lebih baik daripadanya (Khadijah). Dia beriman dengan aku ketika orang lain kufur denganku. Dia membenarkanku ketika orang lain mendustakanku. Dia menghilangkan kegusaranku dengan hartanya ketika orang lain menahan hartanya daripadaku dan ALLAH mengurniakan rezeki kepadaku dengan anaknya, sedangkan DIA menghalang isteri-isteriku (yang lain) daripada melahirkan anak.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Sesungguhnya, isteri Rasulullah SAW itu merupakan sebaik-baik wanita bagi umat, selain termasuk sebagai orang yang dijamin syurga.
Laman web zulkiflialbakri.com melaporkan, Sayidatina Khadijah wafat sebelum difardukan solat iaitu sebelum peristiwa Israk dan Mikraj, kata Aisyah RA.
“Ada juga yang berpendapat bahawa beliau wafat ketika berusia 65 tahun pada bulan Ramadan dan dikebumikan di Hajun.
“Rasulullah SAW sendiri yang mengebumikan jenazahnya dan ketika itu belum lagi disyariatkan solat jenazah.
“Namun begitu, menurut Ibnu Hajar Al-’Asqalani, pendapat yang sahih ialah Khadijah RA wafat tiga tahun sebelum hijrah,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.