Usaha Madkhal kumpul ulama, ilmuwan terangkan ilmu Islam dalam satu platform

PARA ulama, ilmuwan dan orang ramai yang hadir pada Majlis Pra-Pelancaran Madkhal di Shah Alam, baru-baru ini.

KEINGINAN yang kuat dalam menaiktaraf keadaan masyarakat Islam agar memperkukuhkan amalan dan ilmu Islam, sekumpulan pemuda nekad membangunkan laman web dan aplikasi Madkhal.

Pengasas dan Pengarah Urusan Madkhal, Ustaz Aminuddin Abu Bakar berkata, perkara itu telah terdetik di hatinya sejak hampir 20 tahun lalu selepas berfikir cara untuk mengumpulkan pakar dalam pengajian Islam dan ilmuwan dalam satu platform yang mudah untuk diakses masyarakat.

USTAZ AMINUDDIN (kanan) bersama Mufti Selangor, Dr Anhar (dua dari kiri), Mufti Terengganu, Dr Mohamad Sabri (dua dari kanan) dan pengacara majlis, Ahmad Fedtri Yahya.

“Pada ketika itu saya bertugas sebagai imam dan terdetik di hati saya untuk melakukan sesuatu perubahan yang bermanfaat kepada masyarakat.

“Menyedari diri sendiri yang serba kekurangan ini, saya dibantu rakan-rakan membangunkan laman web dan aplikasi Madkhal agar penyampaian ilmu agama dapat disampaikan kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Islam Plus pada Majlis Pra-Pelancaran Madkhal di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam baru-baru ini.

Turut hadir Mufti Selangor, Prof Madya Datuk Dr Anhar Opir; Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Harun dan Timbalan Dekan (Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat) Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kassim.

Menurut beliau, objektif utama pembangunan Madkhal adalah untuk menaik taraf masyarakat Islam agar mereka dapat mengukuhkan amalan dan ilmu agama selain menghayati Islam dengan lebih mendalam.

DR MOHAMAD SABRI (tengah) dan Dr Mohd Izhar Ariff (kanan) pada Majlis Pra-Pelancaran Madkhal di Shah Alam baru-baru ini.

“Mutiara ilmu dan khazanah ilmu Islam sebenarnya sangat kaya dan ia merangkumi semua aspek penting dalam kehidupan kita.

“Selain itu, kami ingin memartabatkan para ulama dan mengetengahkan ilmuwan tempatan di rantau ini dalam masyarakat,” jelasnya.

Jelas Ustaz Aminuddin, wadah utama Madkhal adalah melalui siri rakaman video para ulama dan ilmuwan yang menyampaikan pelbagai ilmu-ilmu penting dalam Islam.

Ia merangkumi ilmu asas fardu ain, syariah, al-Quran, hadis, akidah, akhlak dan sejarah Islam.

“Ia diatur secara berstruktur yang disampaikan oleh mereka yang layak dan dipantau oleh penasihat berautoriti melalui rakaman video dan suntingan berkualiti, khas untuk masyarakat.

“Orang ramai boleh melayari laman web www.madkhal.app atau muat turun aplikasi Madkhal untuk melihat kandungan yang kami sediakan,” katanya.

Tambahnya, antara ulama dan ilmuan yang terlibat termasuk Timbalan Mufti Pahang, Datuk Badli Shah Alauddin; Rektor Universiti Islam Selangor, Prof Datuk Dr Mohd Farid Ravi Abdullah dan Ketua Penolong Mufti (Penyelidikan) Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply