Sibuk mana pun isteri, sesekali kena belek juga penampilan suami, mana yang nampak kurang sesuai, tegur dan tukar.
Bak kata saudara Akhtar Syamir, bertanggungjawablah di atas penampilan suami. Saya lihat terlalu ramai para suami yang tidak mempedulikan penampilannya selepas beberapa tahun berkahwin.
Penampilan Suami Tetap Kena ‘Belek’
Saya bukan bercakap mengenai berat badan kerana ada yang berat badannya berlebihan tetapi masih kemas dan mempunyai penampilan yang baik.
Penampilan ini tidak mengenal saiz, warna kulit, fizikal dan duit. Ianya berkenaan dengan apa tanggapan orang bila melihat kita.
Apakah penampilan yang tak baik itu? Saya bagi beberapa contoh.
1. Baju yang kusut, luntur, koyak.
2. Seluar yang lusuh, terlalu singkat atau terlalu labuh.
3. Gagal dalam kebersihan diri. Muka dan gigi yang tidak bersih, badan berbau.
4. Misai dan janggut yang tidak terurus. Simpan janggut tu tak salah, malah Sunnah, tapi boleh sahaja dikemaskan. Nak kenal orang yang kemas? Tengok misainya. Kalau bersepah sampai masuk dalam mulut, memang orang itu kurang menjaga penampilannya.
5. Rambut yang kusut masai.
6. Pakaian yang terlalu ketat atau terlalu besar.
7. Sentiasa memakai selipar walaupun ke tempat yang tidak sesuai berselipar seperti majlis dan sebagainya.
Bila Masuk Zon Selamat
Kenapa terjadinya perkara sebegini? Ada kebarangkalian besar disebabkan lelaki tersebut sudah termasuk dalam zon rasa selamat, iaitu perasaan yang tidak perlu menjaga penampilan diri kerana sudah ada segalanya. Isteri, anak, rumah dan kenderaan serta kerjaya.
Bila dalam “comfort zone’ ini, penampilan diri menjadi tidak penting dan ada di antara para suami sebegini lebih mengutamakan keluarga berbanding dirinya. Ada juga yang sudah rasa selamat dan rasa sangat yakin yang isterinya akan sentiasa berada bersamanya walau bagaimana teruk penampilan dia sekalipun.
Jadi, disebabkan ini saya sarankan para isteri perlu mula peka dan jaga penampilan suaminya. Jangan dibiarkan kerana takut bila suami segak, dia akan cari lain. Kena buang mentaliti begitu. Suami yang baik dijaga isterinya pasti akan menghargai apa yang isterinya lakukan.
Antara cara untuk menjaga penampilan suami :
1. Pastikan sentiasa tengok rambut dia terurus atau tidak. Jika terlalu panjang, beri cadangan supaya dia pergi potong rambut.
2. Bulu di muka juga perlu sentiasa tengok. Misai dan janggut jangan biarkan bersepah. Boleh trim bagi cantik. Kalau dia malas nak buat, anda boleh tolong buat.
3. Ingatkan suami supaya sentiasa membasuh muka dan tegur jika mulutnya berbau atau giginya tidak bersih. Lebih baik isteri tegur dengan lembut berbanding orang lain nampak dan mengata di belakang.
4. Pastikan baju dan seluar suami sentiasa bersih dan bergosok. Jika bajunya tidak bersesuaian dengan majlis, tegur. Jika tidak bergosok, gosokkan kalau dia tak nak gosok. Kalau baju tu dah buruk, tegah dia dari terus pakai. Lelaki ni ada sikap selagi benda tu boleh pakai, dia akan pakai. Tugas isteri untuk jangan bagi suami pakai baju atau seluar yang sudah terlalu buruk.
5. Kebersihan suami juga perlu dijaga. Bukan perlu mandikan macam mandikan anak yang kecil. Cukup sekadar peka mengenai tubuh badan suami. Kalau melekit, berpeluh-peluh dan berbau, perlu tegur supaya dia dapat bersihkan diri.
6. Bab kasut vs selipar juga perlu diberi perhatian. Tak semua tempat sesuai untuk berselipar. Tak kiralah selipar mahal ke murah. Ada tempat sesuai, ada tempat lebih sesuai berkasut. Jika keluar bergaya, pakailah kasut.
7. Saiz pakaian pun perlu ambil perhatian. Kalau dah ketat sangat tu, tukarlah. Tak manis tersembul sana sini. Apa salahnya cari baju seluar yang mengikut saiz yang bersesuaian.
Menjaga penampilan suami ini lebih kurang sama sahaja dengan menjaga penampilan anak. Ianya ada kaitan dengan maruah, aib dan tanggapan orang terhadap kita dan keluarga kita umumnya.
Ada beza antara penampilan yang baik dengan penampilan yang berlebihan. Bagi saya, cukuplah sekadar ada penampilan yang kemas berbanding tidak ada langsung penjagaan.
Jangan simpan kalau perasan suami tidak menjaga penampilannya. Tegurlah dengan lembut dan baik dan bantu dia menjadi lebih kemas.
Isteri saya kata, tegurlah dalam pujian supaya kurang kebarangklian suami terasa. Kemudian, kalau dia ada usaha untuk menjaga penampilannya, pujilah selalu supaya suami rasa dihargai.
Para isteri, mula cakna bab ini ye? Nanti saya cerita bahagian suami pula perlu menjaga penampilan isteri.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.