Cintai, pertahan negara tanda orang beriman

UMAT Islam mesti mencintai negara sendiri sebagaimana sikap ditunjukkan oleh Rasulullah SAW yang begitu menyayangi tanah airnya. -Foto: Canva

HARI ini kita mengecap nikmat keamanan dan kedamaian atas kuasa ALLAH SWT termasuk berkat pejuang-pejuang kemerdekaan generasi terdahulu yang mengerah keringat untuk mempertahankan tanah air serta agama Islam terus terpelihara.

Sesungguhnya, cerita 67 tahun lalu itu bukan sekadar sejarah yang diulang tayang semata-mata, tetapi perlu disemat dalam ingatan setiap masa.

Ia supaya kita terus menyambung tugas dan perjuangan mereka mengekalkan bumi Malaysia serta Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

Ketahuilah bahawa mencintai negara adalah sebahagian tuntutan bagi umat Islam, selari dengan pepatah Arab yang masyhur ‘Cintai negara (tanah air) salah satu daripada tanda keimanan’.

Demikian perkara yang ditekankan dalam teks khutbah Jumaat bertajuk Tuntutan mencintai negara yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) minggu lalu.

Menelusuri sirah, Rasullullah SAW begitu mencintai bumi Makkah tempatnya dilahirkan dan mengenal dunia.

Tatkala diperintahkan untuk berhijrah meninggalkan tanah tumpah darahnya itu ke Madinah, baginda SAW berpaling menoleh terus ke Makkah.

Nabi Muhammad SAW lantas bersabda: “Tidak aku temui negeri yang lebih baik daripada kamu (Makkah) dan tiada negeri yang lebih aku cintai daripada kamu. Kalau bukan kerana kaumku (Quraisy) menghalauku keluar dari Makkah, tidak akan aku tinggalkan negeri ini.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

HARGAILAH jasa pejuang kemerdekaan generasi terdahulu untuk mempertahankan tanah air dan agama Islam agar terus terpelihara.

Kemerdekaan wajib disyukuri

Selepas Rasulullah SAW menetap di Madinah, khatib berkata, baginda menumpahkan sepenuh jiwa raga untuk membangunkan dan mempertahankan negara berkenaan.

“Perasaan cinta terhadap bumi Madinah turut tersemai erat dalam sanubari Nabi sebagaimana doa baginda ‘Wahai Tuhan kami, lahirkanlah rasa cinta kami kepada Madinah sepertimana kami mencintai Makkah atau lebih’.

“Dalam satu riwayat daripada Anas bin Malik RA, diceritakan bahawa apabila Rasulullah SAW pulang dari perjalanan jauh, baginda akan menggesa untanya untuk cepat berjalan ketika hampir dengan Madinah, seakan-akan rindu dan ingin sampai secepat mungkin,” kata teks khutbah itu.

Berdasarkan kepada pernyataan itu, JHEAT berkata, jelas semua perilaku dan sifat yang ditonjolkan oleh Nabi Muhammad SAW menunjukkan bahawa mencintai negara merupakan perkara dituntut dalam agama suci itu.

“Justeru, umat Islam mesti mencintai negara mereka sendiri sebagaimana sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW,” katanya.

Sama juga halnya dalam konteks mencintai negara pada hari ini. Meskipun tanah air kita sudah bebas daripada kuasa kolonial, usah terlalu selesa hingga mengabaikan kerukunannya.

Mimbar sebaliknya mengajak umat supaya terus menginsafi bahawa kemerdekaan yang diperoleh itu adalah anugerah ALLAH SWT yang wajib disyukuri dan dipelihara.

Masakan tidak, kerana kedamaian itu, umat Islam bebas melaksanakan tuntutan Rukun Iman dan Rukun Islam tanpa perlu berasa takut.

Bagi memanifestasikan kesyukuran, JHEAT menegaskan, kita perlu berganding bahu memelihara dan terus mempertahankan Malaysia daripada sebarang perkara yang boleh menggugat kedaulatan, keutuhan dan keselamatannya.

Ia selari dengan firman ALLAH SWT: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia untuk untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh ALLAH dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang ALLAH mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan ALLAH akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.” (Surah an-Anfal:60)

MENCINTAI negara adalah perkara dituntut dalam Islam dan merupakan antara tanda bagi orang beriman yang menyayangi tanah airnya. -Foto: Canva

Awas penjajahan secara halus

Lebih-lebih lagi musuh negara Islam pada hari ini datang dalam dua bentuk penjajahan.

Pertama, penjajahan berbentuk geografi yang mana masih berlaku di Palestin sehingga kini.

Rejim Zionis terus-menerus membunuh dan mengusir umat Islam.

“Kedua, penjajahan secara halus iaitu melibatkan pemikiran yang begitu berbahaya kerana tidak begitu disedari oleh kebanyakan umat Islam.

“Pihak Barat telah bertindak memesongkan akidah umat Islam melalui ideologi moden seumpama fahaman liberal,” katanya.

Sebanyak mana pun usaha ‘penaklukan’ itu, JHEAT mengingatkan, umat Islam yang berikrar mencintai Malaysia wajib mempertahankan kemerdekaan negara daripada sebarang bentuk imperialisme.

Ini kerana mempertahankan negara merupakan antara tanda bagi orang beriman yang cintakan tanah airnya.

“Mengertilah, sengaja membiarkan atau tidak mempedulikan nasib negara termasuk dalam kalangan orang yang tidak mensyukuri nikmat kemerdekaan.

“Umat Islam juga mesti bersatu padu dan membuat persediaan yang rapi bagi menghadapi cabaran semasa,” tegas khatib.

*Teks khutbah Jumaat disediakan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan disiarkan menerusi laman web rasmi jabatan berkenaan.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply