Jepun minat kukuhkan pasaran halal melalui kerjasama dengan Malaysia

SYARIKAT Jepun kini berusaha untuk menggabungkan elemen halal ke dalam produk dan perkhidmatan mereka dengan kerjasama Malaysia. Foto CANVA

SEJAJAR dengan populariti Jepun yang meningkat sebagai antara destinasi pelancongan utama dunia, syarikat Jepun kini berusaha untuk menggabungkan elemen halal ke dalam produk dan perkhidmatan mereka.

Pengurus Urus Niaga Kanan Nihon M&A Center, ⁠Ryosuke Sakamoto berkata Malaysia antara negara utama yang mereka jalin kerjasama untuk meningkatkan permintaan ini.

Katanya Malaysia menawarkan pelbagai peluang pelaburan untuk syarikat Jepun, terutamanya dalam ekosistem halal.

“Ekosistem ini menawarkan prospek dalam pelbagai sektor, termasuk makanan dan minuman, penjagaan diri, kosmetik, nutraseutikal, logistik dan pelancongan.

“Syarikat Jepun, yang terkenal dengan standard yang tinggi dan pendekatan inovatif mereka, berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang ini, memperluas capaian pasaran mereka serta menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan industri halal di peringkat global,” katanya kepada Bernama pada Ahad.

Beliau berkata Japanese Exchange Group, antara kumpulan pertukaran terkemuka di rantau Asia Pasifik, menilai pasaran makanan halal global sebanyak US$2.468 trilion (US$1=RM4.372) pada 2023, dengan unjuran mencadangkan lonjakan kepada US$5.81 trilion menjelang 2032.

Dalam pasaran ini, Malaysia muncul sebagai destinasi pelaburan yang menarik, kata Sakamoto sambil menambah syarikat Jepun turut melihat Malaysia sebagai hab pelaburan yang menarik dan berminat untuk menjalankan perniagaan di negara ini.

Selama lapan tahun berturut-turut sejak 2015, Jepun telah menjadi pelabur keempat terbesar Malaysia, menunjukkan kepentingannya kepada ekonomi Malaysia.

Pada 2022, pelaburan langsung asing (FDI) Jepun di Malaysia mencecah US$27 bilion, membawa kepada pewujudan 336,000 peluang pekerjaan, menurut Kementerian Kewangan Malaysia.

“Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun baru-baru ini, telah mengukuhkan lagi prospek positif ini, meraih potensi pelaburan bernilai RM6.56 bilion (sehingga 2023),” katanya.

MALAYSIA menawarkan pelbagai peluang pelaburan untuk syarikat Jepun terutamanya dalam ekosistem halal.

Perunding Kanan Nihon M&A Center, Law Sem Liang berkata selama beberapa dekad, Malaysia telah menjadi rakan perdagangan dan teknologi yang kukuh untuk Jepun.

“Berdasarkan kini syarikat Jepun berhasrat untuk berkembang dalam pasaran halal global, kedudukan Malaysia sebagai pintu masuk halal adalah amat penting. Menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), pasaran halal Malaysia diunjurkan mencecah US$113.2 bilion menjelang 2030.

“Oleh itu, pelabur Jepun berminat untuk mewujudkan operasi dalam pasaran pengguna Malaysia yang berkembang melalui penggabungan dan pengambilalihan (M&A), dengan memanfaatkan pelbagai prospek serantau,” katanya.

Sem Liang berkata syarikat makanan dan minuman utama seperti Ajinomoto, Asahi Beverage, Kewpie dan Umakane telah mewujudkan operasi di Malaysia, dengan destinasi perdagangan diperluaskan ke Timur Tengah dan kembali ke Jepun.

“Ia bukan hanya makanan dan minuman halal yang menarik syarikat Jepun, terdapat peluang yang besar dalam segmen logistik halal, kosmetik dan penjagaan diri.

“Sektor ini menawarkan potensi yang luas untuk usaha sama dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan, membolehkan pemindahan teknologi yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” katanya.

Sem Liang berkata contoh utama, Kewpie Malaysia Sdn Bhd, syarikat milik penuh Jepun dan pada 2011 menjadi pengeluar makanan multinasional Jepun pertama yang mengeluarkan makanan halal di Taman Perindustrian Hab Halal di Serkam, Melaka.

“Taman halal seperti ini amat menarik untuk syarikat Jepun berikutan ia menyediakan peluang dalam ekosistem halal, akses kepada komuniti perniagaan berorientasikan halal, kemudahan bertaraf dunia dan tenaga kerja mahir,” katanya.

Nihon M&A Center menyediakan perkhidmatan kewangan yang memberi tumpuan kepada perkhidmatan berkaitan penggabungan dan pengambilalihan seperti penyusunan semula terutamanya untuk perusahaan kecil dan sederhana. – Bernama


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply