KISAH cemburu antara suami isteri sehingga berlakunya keganasan rumah tangga antara berita yang sering dilaporkan media.
Apa yang lebih menyayat hati, pengakhiran kepada kisah cemburu itu membawa kepada kekejaman terhadap pasangan, bahkan ada anak yang tidak berdosa turut menjadi mangsa.
Persoalannya, apakah sifat cemburu ini perlu dibuang dalam diri? Apakah Islam melarang umatnya bersikap cemburu?
Menjawab persoalan tersebut, pendakwah Ustazah Asma’ Harun menjelaskan, cemburu merupakan sifat yang tidak boleh dielakkan oleh pasangan suami isteri.
“Cemburu adalah satu perasaan dan sifat semula jadi manusia. Tiada suami dan isteri yang tidak pernah mengalaminya apabila mendirikan rumah tangga.
“Malah rumah tangga Nabi Muhammad SAW juga pernah dilanda perasaan cemburu. Namun pasangan suami isteri perlu saling berkomunikasi dan tenang dalam menyelesaikannya, bukan mengikut perasaan dan emosi semata-mata,” jelasnya di Facebook miliknya pada Ahad.
Hurainya, ada sifat cemburu yang diperlukan oleh agama dan wajib ada pada setiap diri kita, namun ada juga cemburu yang dicela serta dimurkai ALLAH SWT.
Beliau membahagikan sifat cemburu kepada dua:
1 – Cemburu yang terpuji dan dibenarkan.
Wajib bagi suami merasa cemburu apabila melihat isterinya tidak menutup aurat dan bergaul bebas.
Malah suami yang tidak cemburu isterinya melakukan perbuatan tersebut dianggap dayus.
Bagaimanapun, cemburu seorang suami tidak boleh sampai mencederakan dan menyakiti isteri sewenang-wenangnya. Perkara ini tidak dibenarkan dalam Islam.
2 – Cemburu yang dimurkai.
ALLAH SWT melarang isteri atau suami mencemburui pasangan masing-masing jika ia lahir daripada persepsi dan sangkaan semata-mata sehingga menimbulkan pergaduhan yang tiada kesudahan antara suami isteri.
Jika cemburu itu disebabkan oleh rasa ingin bermanja dan dipujuk pasangan, maka tidak mengapa.
Kisah Nabi Muhammad SAW diuji dengan cemburu isteri
Ustazah Asma’ kemudiannya menceritakan kisah-kisah yang dialami sendiri oleh Nabi Muhammad SAW akibat cemburu oleh isteri Baginda, Aisyah RA.
Kisah pertama – sangkaan seorang isteri.
Aisyah RA pernah menceritakan bahawa satu malam beliau tercari-cari Nabi SAW kerana beliau syak Baginda telah pergi menemui mana-mana isterinya yang lain.
Kemudian Aisyah RA mendapati Baginda sedang rukuk atau sujud sambil membaca: “MAHA SUCI-MU dan segala pujian buat-MU, tidak ada Tuhan yang disembah selain-MU.” (Hadis Riwayat Muslim)
Kisah kedua – Aisyah RA mengintip Nabi
Aisyah RA pernah menceritakan bahawa pada suatu malam, beliau pernah mengintip dan mengekori Nabi SAW ketika Baginda sedang menemui Jibril.
Apabila pulang ke rumah, Baginda SAW bertanya kepada Aisyah: “Awaklah bayangan hitam yang saya lihat tadi?” Aisyah menjawab, “Ya, benar wahai Rasulullah.” Lalu Rasulullah bersabda: “Adakah awak menyangka ALLAH dan rasul-NYA akan curang kepada awak?” (Hadis Riwayat Muslim)
Kisah ketiga – Aisyah RA cemburu kerana ada wanita lain meminati Nabi
Hisyam meriwayatkan Khaulah binti Hakim adalah salah seorang wanita yang pernah menawarkan dirinya kepada Nabi Muhammad SAW.
Aisyah RA merasa cemburu lalu berkata: “Tidak malukah seorang wanita hendak menyerahkan dirinya kepada seorang lelaki?” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Berdasarkan kepada ketiga-tiga kisah tersebut, Ustazah Asma’ menyimpulkan beberapa pengajaran:
1 – Cemburu merupakan lumrah dalam hubungan suami isteri. Bahkan rumah tangga Nabi Muhammad SAW juga dilanda perasaan cemburu. Namun pasangan suami isteri perlu menghadapinya dengan tenang dan tidak melampau dalam berprasangka.
2 – Setiap pasangan perlu cuba untuk berkomunikasi dengan baik agar solusi dapat dicapai dan apa jua konflik dapat diselesaikan.
3 – Jangan nafikan perasaan cemburu yang timbul pada pasangan. Teladanilah akhlak Nabi Muhammad SAW ketika baginda mengetahui perasaan isteri yang sedang cemburu. Walaupun begitu, baginda tidak memarahinya dan menjelaskan situasi sebenar.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.