Isteri Gusar Ingin Tahu, Apa Hukum Suami Mengaku Bujang

Lelaki bujang mengaku bujang, memang tidak menjadi isu. Tetapi apabila suami mengaku bujang, ia akan menjadi isu besar. Ini kerana ada isteri yang berasa bimbang takut-takut kata-kata  suami itu telah jatuh talak.

Perkara ini ditanyakan oleh seorang isteri kepada Mufti Wilayah Persekutuan. 

Saya ingin bertanya soalan, seorang rakan memberitahu ketika suami menghantarnya pulang ke kampung suami telah memakai pakaian yang cantik. Bila ditanya si suami membalas dengan berkata. “Nak keluar lah sekejap lagi, kan bujang hari ini”. Tapi hakikatnya hanyalah dengan niat gurauan tanpa ada maksud begitu. 

Adakah kata-katanya itu sebenarnya telah terjatuh talak kepada isteri kerana ada rakan isterinya memberitahu walaupun dengan gurauan, talak boleh jatuh.  Sangat berharap tuan mufti boleh memberi penjelasan tentang perkara ini.

JAWAPAN:

Satu rukun daripada rukun-rukun talak ialah sighah, yakni bentuk ucapan talak itu. Jika tiada sighah talak maka tidak jatuhlah suatu talak. Sighah itu terbahagi kepada dua:

Pertama: Sighah Sarih

Sighah sarih bermaksud bentuk ucapan talak yang jelas dan tidak menanggung maksud lain selain talak. Ini seperti perkataan talak, cerai, berpisah. Kalimah-kalimah ini jika disebut tidak memerlukan kepada niat untuk menjatuhkan talak. Sekalipun jika seseorang menafikan selepas itu: “Aku tidak berniat talak.” Maka tetap tidak diterima penafian itu.

Kedua: Sighah Kinayah

Kinayah bermaksud kiasan. Kalimah kiasan memiliki banyak maksud dalam suatu masa. Justeru, ia memerlukan niat cerai sewaktu dilafazkan perkataan kinayah itu.

Jika tidak wujud niat talak sepanjang lafaz kinayah itu disebutkan, maka tidak jatuh talak. Contohnya seperti si suami berkata kepada isterinya: “Engkau telah kosong,” “Engkau bebas,” “Baliklah ke rumah ibu bapamu,” dan “Engkau telah halal.”

Dalam kes di atas tentang sahabat yang mengaku bujang kami berpendapat tidak termasuk dalam lafaz talak. Dan jika dimasukkan sekalipun termasuk dalam lafaz kinayah yang sangat lemah.

Ini kerana perkataan bujang membawa banyak maksudnya:
• Boleh jadi maksudnya ialah bujang tiga bererti lelaki yang sudah berkahwin satu boleh berkahwin lagi tiga.
• Boleh jadi juga membawa maksud dia ingin menceraikan isterinya.
• Boleh jadi juga bermaksud dia menipu menyatakan dia tidak pernah berkahwin, kerana mengaku bujang tidak sama jika mengaku duda.
• Mungkin juga maksudnya ialah dia berasa seperti seorang bujang yang memiliki masa lebih lapang untuk urusan peribadi.

Begitulah seterusnya.

Justeru kami berpendapat tidak jatuh talak jika seorang lelaki mengaku bujang kerana perkataan itu tidak termasuk dalam lafaz sarih atau kinayah bagi talak.

Jika termasuk sekalipun ia termasuk dalam makna yang paling ganjil dan lemah kerana bujang bermaksud tidak pernah berkahwin dan berbeza dengan duda.

Kami mengambil kesempatan di sini untuk menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dalam memilih ucapan supaya selamat daripada sebarang kekeliruan.
Wallahua’lam.

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan. 


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply