Bila Yuna disoal pasal anak, dia lebih bersikap terbuka dan menganggap itu soalan biasa untuk seseorang artis yang dikenali.
Bukan menolak untuk hamil tetapi Yunalis Zarai dan suaminya, Adam Sinclair masih berusaha untuk menimang cahaya mata sejak mendirikan rumah tangga lima tahun lalu.
Yuna Disoal Pasal Anak, Tak Terasa Pun Anggap Saja Sebagai Doa
Tidak tertekan atau tersinggung dengan asakan pertanyaan, Yuna memaklumkan, dia dan suami masih berusaha dan menyerahkan perkara itu kepada Yang Maha Esa.
Kata Yuna, dia mengharapkan semua untuk sama-sama berdoa agar dia dikurniakan zuriat.
“Kami tidak pernah merancang, cuma masih belum ada rezeki. Saya juga teringin nak jadi ibu.
“Dua wanita yang memberi inspirasi saya untuk menjadi ibu terbaik adalah ibu saya dan kakak ipar, Aishah Sinclair.
“Saya seronok melihat cara Aishah mendidik anak-anaknya yang bijak dan comel. Disebabkan itu, saya mahu menjadi ibu sepertinya,” ujar Yuna.
“Peminat juga saya lihat ramai yang turut mendoakan kami dan saya berterima kasih serta teruslah berdoa untuk kami.
“Apa-apa pun kami (dia dan suami) mahu bergembira dahulu sebelum membawa seseorang ke dunia ini.
View this post on Instagram
Apabila ditanya adakah dia pernah terasa setiap kali soalan mengenai anak diajukan kepadanya, Yuna memberitahu dia hanya menganggap ia sebagai doa yang baik buatnya.
“Saya tak terlalu berfikir sangat dan kalau orang tanya pun tak tersinggung kerana sebagai artis saya dah biasa ditanya soal peribadi.
“Bila orang tanya, saya selalu jawab kalau ada, ada la dan minta doakan. Tak terasa apa pun bila orang bertanya kerana saya ambil itu sebagai doa,” ujarnya.
Dah Bekeluarga Nanti Baru Pulang Malaysia
Yuna yang menetap selama 12 tahun di Amerika Syarikat itu kini berada di Malaysia sempena sambutan Syawal yang lalu sekali gus mempromosikan single terbaharu berbahasa Melayu berjudul Menanti.
Penyanyi yang mula popular dengan lagu Dan Sebenarnya itu memberitahu, dia belum ada perancangan untuk kembali ke Malaysia selagi belum berkeluarga.
“Setakat ini belum lagi, saya masih mengusahakan banyak perkara di sana (Amerika Syarikat). Memang terfikir bila dah settle down nanti nak pulang ke Malaysia, tapi belum ada perancangan.
“Mungkin jika saya dah berkeluarga (mempunyai anak) nanti saya akan berfikir lebih untuk pulang ke Malaysia,” kongsinya.
Bagus Yuna menyambut soalan ‘cepu emas’ orang ramai, sebagai artis dia sangat bersikap terbuka dan memberikan jawapan yang cukup positif dan kita juga mungkin boleh bertindak begitu. Tidak ambil hati dan menganggap pertanyaan soal anak atau jodoh sebagai satu doa.
Kredit Gambar: YUNA
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.