Trip Retro – Toman Saiz Naga Tasik Chini!!

 

Setelah perjalanan hampir 10 minit enjin dimatikan dan kami meluncur sambil berdayung merapati kawasan rumput-rumput kelecut yang kekuningan. Beberapa kali lontaran, Nazri yang pertama menerima sambaran.

 

Bunyi hentaman yang kuat menandakan toman saiz bagak yang menyambar tapi sayang ‘longkah’ di pertengahan jalan. Kami terus berdayung menyusuri lorong-lorong di celah mengkuang dan rasau sambil joran dihayun dalam usaha menghantar gewang ke arah kawasan yang diharapkan berpenghuni.

 

Mimix shockwave corak ikan koi yang saya lontar pula disergap. Padanan joran Expert Graphite Blue Carbon 10-20lb dengan kekili Ryoga 1016 yang dimuatkan tali sulam Tufline XP 30lb berjaya mengekang larian si toman yang cuba ‘main kotor’ dengan menuju ke dalam perdu mengkuang.

Hasil sulung trip ini dicangkuk kemas dan dinaikkan ke atas bot. Usai mengabadikan sekeping dua gambar sebagai ‘bahan bukti’ ia dilepaskan semula bagi meneruskan kehidupannya.

 

 

Enjin dihidupkan kembali dan Nazri selaku tekong memerhati sekeliling sambil mengemudi bot. “Sana.. sana. Nampak tak anak toman tu?” Ujar Nazri sambil menunjuk ke sebelah kiri bot.

 

Sebaik menghampiri kumpulan anak-anak toman yang masih merah itu,  buzzbait milik Ame berwarna pink yang dikarau laju terus diterkam. Sang mama yang cantik berwarna kehijauan terang tertancap kemas.

 

Menurut Nazri yang biasa casting toman di sini, cara permainan toman di Tasik Chini berlainan sedikit dengan tempat-tempat lain. Jika gewang dilontarkan ke tengah ‘highway’ atau menunggu toman mengambil udara baru melontar gewang alamatnya berjanggutlah kerana toman-toman di sini mendiami di kawasan yang cetek.

 

 

Spot pilihan seperti di tepi rimbunan kelecut dan rasau, di celah lorong-lorong mengkuang dan paling mencabar spot yang agak hardcore yang pastinya dihuni banyak toman bersaiz kasar iaitu di celah–celah tunggul mengkuang mati.

 

Tunggul-tunggul yang berceracak dan di dalam air pula berselirat dengan batang serta akar mengkuang pastinya menjadi tempat yang selesa bagi sang toman beristirehat sambil memerhati mangsa yang lalu.

 

Bagi para caster yang mengidam dentuman padu sanggup mengambil risiko dengan spot yang sebegini. Apa yang membuat saya bersemangat ialah kata-kata Yeo, “Yang penting ikan mau sambar. Macam mana nak tarik keluar, kita ikhtiar kemudian”.

 

 

Tengah hari kami berehat seketika, naik ke jeti. Masa keemasan ini ada yang mengambil kesempatan melepaskan lelah seketika dek kepanasan berada di tengah tasik. Usai solat jamak dan nasi pun sudah turun ke perut, kami menyambung kembali misi pencarian toman Tasik Chini. Sesi petang bertambah meriah lagi dengan kehadiran sebuah lagi bot yang dinaiki oleh Masri dan Ijad.

 

Nampaknya permukaan tasik sudah mula kucah dek tiupan angin. Gewang jenis kecoh dikeluarkan dari lurebox. Jumpfrog, buzzbait dan popper berperanan dalam situasi sebegini. Kali ini saya menaiki bot yang di kemudi oleh Yeo pula. Gumum antara ‘spot laut’ yang disarankan oleh Yeo untuk dicuba. Beberapa sambaran yang menggoncang dada berlaku di Gumum. Asri yang mengambil tempat di haluan bot paling banyak mendapat sambaran.

 

 

Gewang selaman tidak dapat diperturunkan nampaknya. Rata-rata ahli trip yang casting kali ini membawa gewang jenis permukaan (top water). Tidak dinafikan keracunan apabila dentuman sambaran yang memercikan air di permukaan tasik dapat dilihat sendiri membuatkan ramai caster lebih suka ‘bermain’ dengan gewang permukaan.

 

Saya dan rakan-rakan memilih buzzbait pada trip ini kerana aksinya yang memang bising dan kecoh. Terbukti keberkesanannya menjerat sang toman lagipun harganya tidaklah mahal. Kalau putus direntap toman tidaklah ‘terasa’ sangat.

 

 

Sesi petang agak kureng hasilnya berbanding pagi terutama ketika matahari sedang mula menampakkan diri. Bagaimanapun tasik ini masih berpenghuni. Tidak rugi sekiranya para caster hendak menduga penghuni Tasik Chini kerana toman masih banyak.

 

Menurut Nazri sebarau pun ada kat sini. Kalau bernasib baik, silap-silap ‘badong’ pun boleh sambar gewang anda. Pasti senyum terukir sampai ke telinga. Tapi apa pun, harus kita ingat, kita sebagai pemancing kalau boleh yang sedang-sedang, seekor-dua boleh ambil makan.


Posted

in

by

Tags:

Comments

Leave a Reply