Tiba di lokasi, jig segera diturunkan sehingga mencecah dasar. Lantas henjutan demi henjutan dilakukan untuk menarik minat aji-aji di bawah laut sana. Pelbagai jenis, warna dan saiz jig dihenjut namun sambutan adalah suram sekali. Mungkin masih awal petang lagi kami membuat andaian.
Yang memancing dasar juga kurang hasil tidak seperti kebiasaan. Aji-aji pertama tangkapan Pok Mud’s anggaran 3 kg memulihkan kembali kekuatan yang kian pudar untuk ramai kaki jig kembali beraksi. Serangan aji-aji tidak lama mungkin ia menyambar ketika laluan aji-aji tepat dengan unjun jig.
Omar menjadi orang kedua tersenyum apabila joran Jigging Master PE3-PE6 yang dipadankan dengan Shimano Stella 10000 menerima sambaran aji-aji kedua. Itupun setelah beberapa jenis dan warna jig ditukar ganti. Kegelisahan akhirnya terpadam tatkala saat matahari mula hampir terbenam apabila beberapa ekor aji-aji mula tumpas di tangan kaki jigging yang rajin mengunjun jig.
Labuk, Sham dan Ajeem adalah kaki jigging yang paling rajin menghenjut jig dan setiap usaha mereka ada imbuhannya.
Menjelang awal pagi geng Sabah ini pulih kembali tenaga untuk kembali jigging. Syam membuka tirai awal pagi kedua apabila jig baru dilabuhkan menerima sambaran padu sebaik sahaja jig dihenjut dari dasar. Menyedari dan kami dapat teka apa spesies yang membaham jig tersebut, joran jigging yang tersadai semalaman dicapai kembali. Sah aji-aji dikesan berlegar di bawah bot kami pada kedalaman 120 meter.
Tatkala Syam masih lagi melayan kerenah aji-aji, Plabuk dan Zul turut mengena sasaran. Ketiga-tiga beradik kaki pancing tegar dari Ranau ini bagai enggan mahu mengalah antara satu sama lain. Seolah-olah diatur pula apabila Syam selaku abang sulung mendapat sambaran dan kemudian diikuti kedua beradiknya.
Saiz aji-aji kali ini lebih besar daripada petang hari pertama. Ini sudah baik, masing-masing mula memasang angau nak cari yang lebih dari yang lain. Cuma saya yang dah berusia dengan jigging memberi ruang buat yang muda. Puas dan teruja melihat anak muda ini happy dengan hasil pancing mereka.
Bot berpindah spot apabila aji-aji kembali sunyi sebaik sahaja matahari meninggi. Yang berjaga malam masuk beradu dan yang masuk shift siang membuat persiapan memulakan sesi hari kedua. Penulis memilih untuk merehatkan badan di kabin berhawa dingin dan merancang untuk memancing pada sebelah petang. Ketiadaan arus masuk hari kedua juga menjadi penyebab utama pancing dasar tidak begitu mengujakan.
Masing-masing bersetuju untuk menunggu lewat petang dan malam hari untuk mencari peluang memadam rekod aji-aji peribadi sebelumnya. Bila waktu petang tiba, masing-masing mula mengambil tempat. Joran dasar rata-ratanya sudah disimpan kerana sambutan yang diterima hanyalah anak-anak ikan sahaja.
Seperti kebiasaan tiga beradik Sabah ini terlebih dahulu strike. Kerajinan mereka menjadi titik tolak yang lain untuk turut sama berjigging. Bunyi kekili berteriak kasar memeriahkan lagi suasana untuk merasai kepuasan dengan membuat masalah dengan aji-aji. Semua ini tidak berpanjangan kerana serangan aji-aji hanya seketika dan sepi bila perubahan pasang surut terjadi.
Kemudian malam menjelma, kami sekali lagi menyasarkan kepada tenggiri. Malam kedua tenggiri lambat ‘panas’ apabila gerombolannya mula menyambar umpan melewati tengah malam. Ramai ketika itu sudah dibuai mimpi, kecuali Midie, Ann, Ajeen serta Zaba yang tahan bersengkang mata menunggu kehadiran tenggiri. Untungnya penggunaan umpan dan jig kedua-duanya berkesan ketika itu.
Tapi masalah timbul waktu ini kerana sewaktu semuanya strike serentak, tiada siapa yang membantu menggancu ikan. Disebabkan kedudukan bot yang tinggi, banyak tenggiri lucut dan putus sewaktu ingin dinaikkan. Ikan semakin galak dan ramai yang turut menyertai sesi pancing menjelang masuk Subuh.
RO yang dah masuk hari ketiga masih belum menemui sentuhan turut mencuba nasib di hari terakhir. Lazimnya Syam akan membuka tirai diikuti oleh Zul dan Labuk. Masing-masing tahu waktu aji-aji bakal hentam jig. Akhirnya strike kedua diterima RO barulah aji-aji idamannya tewas kerana sebelumnya ikan lain yang menyambar unjunan jig beliau. Bila semua merasai ikan buruan, kami memberi isyarat pada tekong untuk menamatkan misi trip Sabah kali ini.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.