Trip Trobek – Kepaduan Jigging Perairan Sarawak!!

 

Kami memulakan perjalanan ke spot pertama yang memakan masa selama 30 minit dari Kuala Sungai Penipah. Setelah bot mengambil posisi yang betul jig dihulurkan serentak sambil unjunan dibuat beberapa kali.

 

Strike pertama daripada tekong membuatkan kami rasa teruja. Ikan pisang-pisang berskala kecil berjaya dinaikkan menggunakan jig 40 gram. Tidak lama kemudian, tekong sekali lagi mendapat strike dan hampir 5 minit bertarung, seekor jemuduk berskala 1 kg berjaya dinaikkan.

 

Tekong memberitahu cuaca tidak dalam keadaan baik, namun dia cuba untuk bertahan, selagi tidak mendatangkan bahaya. Kami bertawakal dan menyerahkan keputusan kepada tekong. Mungkin dia enggan kami kecewa dengan trip itu jika kami balik terlalu awal.

 

Jerome yang pertama kali turun jigging seterusnya mendapat strike, seekor kerapu saiz 500 gram menjadi koleksi pertama beliau. Sesi sakat menyakat member menjadi penghibur hati kami yang belum mendapat strike. Saya dengan penuh sabar terus mencuba tanpa putus asa.

 

Yes, strike pertama menggunakan jig Storm Koika Silver 20 gram membuatkan saya teruja. Joran Viper Fatale P.E 0.6-1.8 melentur terus. Seekor talang berjaya saya daratkan, hati ada senyum usik rakan-rakan yang lain.

 

Tekong mengarahkan kami untuk menaikkan jig. Disebabkan spot tersebut agak hambar tanpa sambaran daripada penghuni dasar, perjalanan ke spot seterusnya mengambil masa 10 minit. Kali ini, Ismail pula mendapat strike.

 

Seekor anak sagai berjaya beliau daratkan. Memang rezeki Ismail apabila tidak lama kemudian, sekali lagi lagi dia mendapat strike. Kali ini agak kasar sentapan daripada penunggu dasar, akhirnya seekor gerepoh berskala 1 kg berjaya dinaikkan menggunakan jig 38 gram. Kali ini, Ismail punya yang tersenyum panjang. Selepas itu langsung tiada strike, tekong memberitahu kami untuk pindah lagi ke spot lain.

 

Tengah seronok berjigging, tiba-tiba jig saya terbelit pada tali utama Jerome. Puas juga saya membuka belitan sebelum tekong memberitahu supaya jig saya dibuka dari snap baru senang nak leraikan belitan tali.

 

Sewaktu Jerome memegang tali utamanya dengan jignya masih hanyut dalam air, tiba-tiba jig yang masih berada di bawah air disambar oleh ikan. Situasi menjadi cemas dan kalut bila tekong mengarahkan supaya tali dipotong. Saya terpaksa akur dan terus memotong tali tersebut.

 

Kami berpindah lagi ke spot lain. Kali ini kami terserempak dengan kawanan burung yang banyak tekong terus mematikan enjin.

 

Mann Levi’s orang pertama yang menurunkan jig terus mendapat sambaran. Joran Viper Venom melengkung diuji penghuni dasar yang belum kelihatan. Akhirnya mangsa seekor jemuduk berjaya dinaikkan. Apa yang menarik spot ini kami telah mendapat strike bertubi-tubi sehingga tidak sempat nak bergambar dibuatnya.

 

Antara ikan yang diperolehi di spot tersebut ialah ikan sagai, jemuduk, anak kerapu, merah dan tanda. Dalam keseronokan kami berjigging, tekong akhirnya memberikan isyarat untuk kami segera menggulung naik tali tanda akan pulang ke jeti apabila keadaan laut semakin bergelora dan tidak mengizinkan untuk kami bertahan lebih lama.

 

 


Posted

in

by

Tags:

Comments

Leave a Reply