Pakaian camouflage sememangnya sudah menjadi trend caster di tempat kita. Namun pakaian begitu boleh menimbulkan kekeliruan terhadap tentera atau pengawal keselamatan di negara tersebut. Tidak kiralah ketika memancing apatah lagi dalam kenderaan.
Sebagaimana anda menggunakan setting peralatan untuk casting sebarau di Tasik Kenyir atau Tasik Temenggor, setting yang sama boleh digunakan di Tasik Banglang ini. Kebanyakan daripada kami menggunakan rod dari serendah 4-10lb hinggalah 8-17lb. Tali utama pula berkekuatan dari 8lb hinggalah 20lb. Sementara gewang pula dari jenis permukaan dan sesudu.
Ada baiknya sebelum mula casting, ambil sedikit masa untuk melihat ikan-ikan apa yang dikerjakan oleh ikan pemangsa. Ketika kami datang ke sini kami dapati banyak aktiviti ikan pemangsa mengejar dan membaham ikan jenjulung.
Sifat ikan jenjulung banyak mendiami pra permukaan air menjadikan gewang-gewang kecil tetapi panjang aksi permukaan cukup laku untuk memperdaya sebarau terutama spesimen besar di tasik ini.
Bagi yang tidak biasa casting di atas bot pancung, anda dinasihatkan mengambil sedikit masa menyesuaikan diri untuk keseimbangan. Jika tidak yakin untuk berdiri maka lebih baik casting sambil duduk saja. Kebanyakan bot pancung di sini direka untuk kelancaran pergerakan tetapi agak kurang stabil.
Elakkan dari melakukan pergerakan mengejut lebih-lebih lagi jika ada rakan yang casting sambil berdiri. Jaket keselamatan merupakan kelengkapan wajib pakai.
Jarak antara lantai dengan dinding bot juga agak rendah bukan saja membuatkan anda berasa sedikit gayat, malah juga memudahkan hasil tangkapan terlepas kembali ke air. Pastikan anda mengendalikan hasil tangkapan dengan baik sekiranya tidak mahu melihat insiden badong yang didaratkan menggelepar hingga terlepas kembali air. Ramai pemancing berhadapan dengan perkara ini termasuk saya sendiri.
Kebanyakan boatmen atau tekong di sini bukanlah tekong sepenuh masa. Ramai di antaranya hanya penduduk setempat yang memiliki bot pancung untuk kegunaan sendiri, bukannya untuk membawa pemancing memancing.
Jadi, sedikit sebanyak bantuan perlu diberikan kepada mereka. Jangan segan meminta tekong bawa ke mana-mana spot yang berpotensi pada pengamatan anda. Begitu juga dengan kedudukan bot yang betul ketika menghadap lubuk.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.