Trip Trobek – Rezeki Apollo Pulau Payar!!

 

Aktiviti awal pagi dimulakan dengan unjunan apollo mencari umpan. Tekong menyuruh untuk mencari borek. Borek merujuk kepada ikan termenung borek. Ikan borek adalah salah satu umpan paling digemari pelagik utama yang kami cari iaitu tenggiri.

 

Sedang masing-masing sibuk mencari borek, keheningan pagi dipecahkan dengan jeritan drag Daiwa Exceler milik Shahril.

 

 

“Negro hitam!” kata tekong.

 

Kami segera faham apa yang dimaksudkan oleh tekong. Apa lagi kalau bukan si layaran punya angkara. Hampir habis tali dalam gelendong dihenjutnya. Saya bergegas ke belakang bot membantu tekong mengawal ikan. Beberapa gelekan akrobatiknya gagal untuk meloloskan dirinya yang terjerat.

 

Mood pagi diserikan dengan sesi foto ringkas ikan ikonik ini beramai-ramai. Walaupun ikan ini dianggap pengacau terutamanya oleh pemancing tenggiri , namun keseronokan menariknya memang dinantikan. Ikan ini kami lepaskan semula.

 

Kami meneruskan aktiviti mencari cencaru kuda pula. Acara wajib mengunjun apollo yang memang tak boleh dilepaskan di unjam. Jeps pula lebih selesa menggunakan micro jig. Teknik berbeza namun target yang sama.

 

Suasana mula riuh apabila cencaru kuda mula menyerang. Saiznya pula agak kasar. Walaupun sekali yang naik seekor dua sahaja sudah cukup memadai kerana saiznya yang agak kasar. Jika lambat menaikkannya kadang kala bersimpul apollo dibuatnya.

 

Sekejap sahaja tong Coleman kami dipenuhkan dengan ikan ini. Saya juga berjaya menaikkan cencaru bersaiz hampir dua jengkal dewasa. Agak kuat tarikannya. Selain cencaru , kerisi juga banyak bermain di sekitar unjam.

 

Selepas beberapa jam menunggu, tenggiri mula menjengah umpan kami. Teknik hanyutan belon mula menampakkan hasil. Jeritan drag disambut sejurus tekong mengatakan mangsa adalah tenggiri. Kawalan berhati-hati dari Zubir yang membantu tekong akhirnya menghasilkan rezeki yang bersaiz sederhana.

 

Ikan mula bermain disekitar bot. Kami terus menunggu sambil terus mengunjun apollo. Memang seronok melayan apollo secara berjemaah di atas bot. Jeps pula yang gemar menggunakan teknik micro jig mendapat bonus sejurus jignya disambut ikan belitung.

 

Namun alun yang agak kuat menghadkan aktiviti kami. Manakan tidak, saya sendiri beberapa kali hampir terjun ke laut bahana alun kuat ini. Dua ahli komplot juga terpaksa berehat lantaran sedikit pening dek alun yang kuat ini.

 

Sebelah petang sekali lagi drag menjerit menandakan seekor lagi tenggiri menghentam umpan borek. Saiz kali ini agak kasar membuatkan kami lebih gembira. Selain ikan target, ikan gerut-gerut juga berjaya kami dapati di sini. Asalkan rajin dalam memancing, pasti akan ada hasilnya.

 

Seperti mana-mana trip, kami juga tak terlepas dari mengalami situasi rabut. Ini juga terjadi pada kami bila mana beberapa sambutan kasar yang didapati berjaya meloloskan diri. Selain faktor kesilapan, faktor nasib juga sebagai penentu. Perkara ini biasa kata tekong.

 

 

 

Untuk trip kali ini sahaja hampir enam kali tenggiri gagal dinaikkan. Namun kami puas hati kerana masih ada spesis lain sebagai penggantinya. Syukur… peti Coleman dapat juga dipenuhkan dengan pelbagai ikan hinggakan berlebihan. Tuas Payar memang terbaik.

 


Posted

in

by

Tags:

Comments

Leave a Reply