Cara mengesan jika dijangka akan berlaku kejadian:
Sentiasa melihat ke arah hulu sungai atau puncak atau lembah pegunungan. Lihatlah pergerakan awan, jika mendung kemudian keputihan bermakna hujan telah turun. Maka buatlah penilaian anda sendiri sama ada selamat atau tidak untuk terus memancing di sungai itu.
Jika anda memancing di kawasan hulu sungai atau air terjun terutamanya musim hujan, lihatlah sekeliling kawasan dan cuba cari sebarang tanda yang menunjukan paras air yang melimpah di kawasan tersebut. Selepas itu buatlah suatu tanda aras selamat. Sebagai contoh dengan menggunakan kayu atau batu sebagai penanda aras sama ada air naik atau tidak.
Bunyi dentuman gerakan batu-batan, pokok kayu tumbang atau deruan air dari hulu sungai. Air sungai berbuih dan meningkat secara tiba-tiba (kelodak, daun reput atau ranting kayu muncul dengan banyak di permukaan air). Maka segeralah beredar dari sistem ke kawasan tinggi.
Dengan melihat perubahan warna air dan arus yang mengalir, jika air bertukar warna dari jernih menjadi keruh juga arus bertambah kuat lebih baik anda naik.
Kadangkala air tidak menjadi terus keruh, tetapi perubahan kepada deras air akan berlaku. Jika anda merasakan tekanan kepada kaki, seperti tenggelamnya ia di dasar sungai (akibat pasir) maka naiklah ke darat.
Apa patut buat jika ia berlaku kepada anda?
Jika sedang berkhemah dan memancing, segeralah cari kawasan yang lebih selamat terutamanya kawasan yang lebih tinggi dan jauh dari sungai. Kemas dan bawa barang-barang atau dokumen penting terlebih dahulu.
Jika sedang trekking dan meranduk sungai secara berkumpulan, bantulah rakan yang berada di tengah-tengah untuk menyeberang secepat mungkin. Jika ada yang baru menyeberang atau belum menyeberang maka berpatah balik dan carilah tempat selamat. Segera berlari naik ke kawasan tinggi atau memanjat pokok besar yang difikirkan selamat.
Sekiranya anda tidak bernasib baik terperangkap, berpautlah pada pokok, ranting atau apa saja yang boleh dijadikan apungan. Dalam pada masa yang sama ikut sahaja arus itu dan cari peluang untuk berenang ke tepi. Jangan cuba melawan arus kecuali anda yakin mampu melawan arus untuk ke tebing.
Andai kata ada mangsa yang terperangkap dan boleh diselamatkan, gunakanlah tali atau kayu untuk menolong mereka ke tempat selamat. Jangan berenang untuk menolong kerana sangat berbahaya.
Ini disebabkan jika kepala air berlaku, kebiasaannya ia akan membawa sekali kayu atau pokok yang tumbang batu dan pasir dan ini akan boleh mengakibatkan kecederaan yang teruk.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.