Ada Apa Dengan Musim Tengkujuh?

 

Bulan November dan Disember sudah sinonim dengan penduduk di bahagian Pantai Timur Semenanjung. Angin monsun bertiup kencang ke daratan membawa hujan lebat. Sering kali kita dengar di media cetak, media elektronik tentang kawasan yang ditimpa musibah ini.

 

Banyak barang keperluan musnah dan hilang entah ke mana. Ada juga nyawa menjadi taruhan ketika musim banjir ini, cuma kita kenalah sentiasa berwaspada setiap masa. Pantau tingkah laku anak anda agar kejadian yang tidak diingini akan berlaku.

 

 

Sauk Belanak

 

Tinjauan saya ketika bercuti di Kelantan, kedatangan musim tengkujuh ke negeri ini sebenarnya memberi pendapatan tambahan kepada penduduk di sekitar pantai daerah jajahan Bachok.

 

Penduduk di sini menggunakan alat dikenali sauk ‘Y’ dan menyusuri sepanjang pantai untuk menangguk ikan belanak yang banyak terdapat di kawasan berkenaan dan dipercayai mencari makanan pada buih ombak.

 

 

Tinjauan mendapati sekumpulan penduduk tempatan mengambil peluang musim tengkujuh dengan mencari ikan belanak untuk dijadikan bekalan keluarga dan ada juga untuk dijual kepada orang ramai.

 

Hasil jualan ikan berkenaan membolehkan penduduk terbabit memperoleh pendapatan sampingan kira-kira RM50 sehari dengan meluangkan masa beberapa jam terutama selepas hujan melanda kawasan itu. Jika cuti umum dan hujung minggu, dianggarkan lebih 100 penduduk setempat dan penduduk luar memenuhi Pantai Bachok.

 

Penulis yang menemu bual beberapa orang penduduk berkata, meskipun hasil pendapatan tidak seberapa, tapi setidak-tidaknya berjaya menambah rezeki keluarga.

 

 

Kerja menangguk ikan agak menyeronokkan, tetapi perlu dilakukan secara berhati-hati kerana jika tersilap langkah, tidak mustahil nyawa menjadi taruhan ombak yang meninggi di pesisir pantai.

 

Setiap penduduk mempunyai peralatan menangguk ikan belanak dan menjadikan musim tengkujuh sebagai pesta menangguk ikan terbabit.

 

Kerja menangguk ikan memang tak susah sekiranya ikan banyak. Jika ingin tahu ikan banyak ataupun tidak, lihat pada buih ombak. Jika buih ombak berwarna merah, maka di situ terdapat banyak ikan. Pokoknya, cuma malas dengan rajin sahaja untuk mendapatkan hasil. Kalau rajin adalah imbuhan dari yang Maha Esa.

 

Mencari Remis

 

Ada sesetengah orang tidak mengetahui apa itu remis. Remis adalah sejenis moluska bercengkerang yang boleh didapati di pesisir pantai. Sama seperti yang kita selalu dengar, kerang, lala, siput sedut, mentarang, retak seribu, dan lain-lain spesies yang tergolong dalam kumpulan bercengkerang.

 

 

Ketika ombak membadai pantai di situlah muncul satu lagi rezeki yang digelar remis. Bentuk badan menyerupai kerang tetapi bersaiz kecil dan cengkerangnya licin. Berwarna putih dan ada juga berwarna keperang-perangan bertaburan di permukaan pasir.

 

Bagi penduduk tempatan ia adalah fenomena biasa tetapi bagi pengunjung luar ianya pasti menjadi satu pesta mengutip remis ini. Aktiviti mencari remis menjadi sebahagian perkara menyeronokkan bagi masyarakat setempat dan pengunjung pantai, tetapi kepada ibu bapa yang membawa anak mereka bersama sentiasalah beringat dan menjaga keselamatan anak-anak.

 

Saya sendiri turut teruja dan mengikut sama menyauk remis menggunakan bekas plastik yang berlubang-lubang kecil. Remis disauk bersama pasir kemudian diayak bagi memudahkan kerja pengasingan. Remis banyak ketika waktu pagi kerana pada malam hari tiada orang yang mencari remis. Jadi siapa yang dapat dahulu dialah yang punya habuan.

 

 

Salah satu tip untuk mengeluarkan pasir daripada remis ini adalah dengan merendam dalam air masin (laut) semalaman. Kemudian barulah masak untuk dijadikan santapan.

 

Remis rasanya agak manis walaupun agak remeh sedikit untuk memakannya kerana bentuknya yang kecil. Tetapi siapa yang telah mencuba pasti ingin lagi memakannya. Sehinggakan ia menjadi satu ketagihan.

 

NELAYAN DAN PENGUSAHA BOT MEMANCING

 

Bagi golongan ini, sudah tentu menghadapi kesukaran untuk turun ke laut pada musim tengkujuh. Kesempatan ini mereka akan menghabiskan masa terluang dengan memperbaiki bot dan jaring. Jaring yang terkoyak tetapi masih kukuh diperbaiki manakala jaring yang reput ditukar dengan jaring yang baru.

 

 

Jaring yang baru dibeli tidak boleh terus digunakan tetapi kena ditambah aksesori lain seperti tali dan pelampung. Kerja-kerja pembaikan dan pengubahsuaian jaring ini memerlukan kemahiran yang tinggi.

 

Calang-calang orang tidak dapat memiliki susunan simpulan tali dan jarak ikatan tali yang sama. Ada sesetengah nelayan sendiri tidak dapat kemahiran ini sebaliknya memberi upah kepada pengait jaring untuk memperbetulkan jaring mereka.

 

Bagi pengusaha bot memancing pula, inilah masa yang sesuai bagi kerja-kerja pembaikan bot memancing. Papan reput digantikan yang baru, enjin diservis agar dapat kuasa yang optimum, kabin di ‘upgred’ untuk keselesaan pemancing dan akhir sekali proses mengecat agar dapat kelihatan seperti baru.

 

 

Waktu ini juga tukang-tukang kayu pun akan dapat imbuhan untuk menampung saraan keluarga. Kebanyakan tukang kayu di Pantai Timur sekarang majoritinya berusia 50 tahun ke atas.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply