Sehingga kini, peacock bass (PB) terus-terusan menjadi isu yang diperdebatkan atas judul ia sebagai pembinasa spesies ikan tempatan dan ekologi.
Dalam pada masa yang sama, sekiranya pemancing yang mahu memancing menggunakan umpan tiruan seperti gewang dan sebagainya, sudah tentunya ikan jenis pemangsa seperti PB inilah yang dicari.
Kebanyakan pemancing lupa satu perkara utama. Biarpun populasi ikan sangat besar di dalam tasik sama ada jenis pemangsa, herbivor mahupun omnivor tetapi kegiatan sport fishing atau sukan memancing itu sendiri secara tidak langsung juga mendatangkan kesan kepada ekosistem dan perkara ini melibatkan soal sama ada spesies tersebut ikan pendatang ataupun tempatan.
PB adalah ikan lakustrin (hidup di air tenang) manakala asal usul ikan tempatan kita sebenarnya adalah ikan sungai walaupun ada sesetengah mampu menyesuaikan diri dalam habitat berair tenang. Ikan seperti kelah dan sebarau tidak begitu gemarkan kehidupan seperti yang disukai PB.
Mereka tidak berkongsi habitat yang sama. Saya pernah menangkap ribuan anak sebarau di dengan tangguk di Empangan Klang Gate dalam tahun 70-an semata-mata untuk dipindahkan ke dalam lombong-lombong di sekitar Petaling Jaya mengharapkan mereka memberi persembahan terbaik buat kaki pancing seperti saya pada suatu hari nanti.
Walau bagaimana pun saya dapati spesies sebarau tidak mampu membesar dan membiak dalam habitat lombong yang dikelilingi kesibukan tamadun manusia. Ini berbeza dengan PB yang menjamin persembahan terbaik dalam habitat lombong yang sama.
Kita harus selidik apa yang sedang dan telah berlaku di dalam lombong-lombong sekitaran kita sebelum suarakan sebarang pendapat. Di mana sahaja anda pergi, anda mudah menemui banyak spesies luaran seperti tilapia dan lebih ditakuti, kerapu lombong (Parachromis managuensis) mengambil alih keseluruhan ekosistem.
Ikan kerapu lombong adalah spesies pepijat yang sangat mudah membiak malah pemangsa yang berbahaya tetapi mempunyai sedikit atau tiada langsung nilai dalam pancingan.
Ikan toman yang disebarkan ke dalam lombong pun tidak mampu mengawal pepijat ini jadi kenapa tidak PB yang melakukan tugas ini untuk kita?
Akhirnya kita akan mempunyai pengawal biologi yang sangat bagus untuk kerapu lombong dan pada masa yang sama menjadi gamefish kelas dunia untuk tarikan pelancong!
Namun begitu terdapat satu masalah kecil, PB adalah ikan yang sedap dimakan. Jadi siapa yang mampu mengawal para pemancing?
Ada juga yang mengatakan PB tidak memberi perlawanan yang menarik tetapi sebenar PB sepanjang 12 hingga 13 inci adalah berumur kurang dari setahun.
Bagaimana anda boleh menjangkakan ikan juvenil akan memberikan perlawanan sebaik ikan dewasa?
(Sumber: Ronald Looi)
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.