Dalam hobi memancing, terdapat banyak petua dan kepercayaan yang diamalkan oleh ramai kaki pancing. Begitu juga dengan petua pantang larang yang sukar untuk diterima oleh logik akal. Ada juga yang tidak ambil kisah dengan perkara tersebut dan ada yang percaya. Berikut antara pantang larang yang korang boleh nilaikan sendiri.
Set Pancing Dekat Tong Sampah
Dilarang meletakkan barang pancing terutama batang joran berhampiran atau bersebelahan tong sampah dan penyapu. Ia dikatakan mendatangkan `sial`dan dipercayai jika menggunakan batang joran berkenaan tidak akan dapat ikan.
Kunyit & tepung
Jika memancing di sungai yang dipercayai ada buaya, jangan gunakan umpan tepung yang digaul dengan kunyit. Buaya tidak suka bau kunyit dan ia boleh ‘mengamuk’ dan ini boleh mendatangkan bahaya kepada pemancing.
Sesat di hutan
Jika tersesat di dalam hutan semasa memancing dan tidak menjumpai jalan pulang, ada petua yang agak ngeri iaitu telanjang dan buang air kecil. Selepas itu, ambil tanah di antara tapak kaki anda dengan tempat membuang air kecil tadi dan bawalah sepanjang jalan. Khabarnya jalan pulang akan ditemui.
Pemakaian kasut
Apabila memancing di dalam sampan atau bot jangan pakai selipar atau kasut. Ia seperti hendak masuk rumah sendiri dan juga rumah orang lain. Ia seperti tanda hormat dan adab. Ada juga beranggapan benda-benda di bawah (dalam air) tidak suka kepala mereka dipijak dengan selipar atau kasut yang kotor.
Langkah joran
Petua ini menjadi ikutan ramai pemancing hingga ke hari ini. Pantang larang agar batang pancing tidak dilangkah ada kalanya menjadi satu medan pertengkaran sesama rakan pancing. Apa yang sering dikatakan adalah batang pancing akan ‘suwei’ apabila kena langkah dan hasil tangkapan akan meleset.
Meludah umpan
Petua ini turut menjadi amalan hingga kini. Ada yang melakukan pada umpan yang pertama di dalam aktiviti memancing dan ada yang sentiasa meludah setiap kali menukar umpan baru. Ada yang beranggapan untuk isyarat membuang ‘suwei’ dan ada yang kata sebagai ‘daya penarik’ ikan atau udang.
Patah balik
Dilarang patah balik ke rumah sekiranya ada tertinggal barang. Ada yang beranggapan akan berlaku perkara tidak baik dan juga tidak akan dapat hasil tangkapan. Itu kalau benda-benda kecil yang tertinggal la… kalau dah joran dengan reel yang tertinggal. Gila ke apa tak nak patah balik?
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.