Parrot fish atau ikan bayan ialah sejenis omnivora yang memakan ikan dan tumbuh-tumbuhan, dan salah satu makanan kegemarannya ialah batu karang. Ramai yang mempercayai tabiat ikan bayan yang memakan batu karang telah menyebabkan kemusnahan habitat batu karang di dalam lautan.
Tanggapan itu sebenarnya adalah salah kerana ikan bayan adalah sahabat terpenting dalam proses pertumbuhan yang sihat bagi batu karang kerana ikan bayan bukan memakan batu karang, tetapi ikan bayan memakan alga-alga yang melekat pada batu-batu karang.
Pertumbuhan alga pada batu karang akan akan membantutkan pertumbuhan batu karang. Oleh itu, dengan bantuan ikan bayan, secara tidak langsung batu karang dapat membesar dengan sihat.
Walau bagaimanapun, tidak dinafikan semasa ikan bayan mengikis alga yang terdapat pada batu karang, ikan bayan turut menggigit sebahagian kecil daripada struktur batu karang tersebut, namun ia tidak memberi kesan yang ketara kepada perkembangan batu karang, kerana batu karang yang digigit ikan bayan tersebut ialah batu karang yang sudah rosak akibat diserang alga, malah proses berkenaan adalah salah satu proses terpenting bagi ekosistem di lautan.
Semasa ikan bayan memakan batu karang (yang mengandungi alga), sistem pencernaan ikan bayan akan menghancurkan batu karang di dalam perutnya bagi memisahkan batu karang dengan alga untuk dicernakan ikan bayan.
Manakala, batu karang yang hancur akan dibuang melalui sistem perkumuhannya menjadi ‘tahi pasir’. Ikan Bayan dewasa boleh menghasilkan 90 kilogram tahi pasir setahun, dan tahi pasir inilah yang akan menjadi sebahagian daripada pepasir pantai dan membentuk pulau-pulau yang ada sekarang.
Dan bayangkan pula terdapat 90 spesies ikan bayan di perairan dunia… berapa banyak ia telah membekalkan pasir pantai?
Ikan bayan juga mempunyai cara berlindung yang hebat semasa sedang tidur atau berehat. Apabila ikan bayan menemui sebuah tempat bersembunyi yang sesuai, ikan bayan akan mengeluarkan lendir daripada mulut dan hidungnya untuk menutup keseluruhan tempat persembunyiannya.
Lendir itu adalah bertujuan untuk menghalang pemangsa daripada terhidu bau badannya dan menghalang bakteria daripada mendekatinya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.