Talang Pun Talang La Janji Strike!

 

Sekitar 10 tahun lalu, ketika teknik jigging ringan atau light jigging mula menjadi fenomena dan kegilaan para pemancing tanah air, boleh dikatakan semua pemancing ingin turut mencuba. Pemancing yang tidak pernah menaiki sampan atau bot sanggup berhadapan dengan mabuk laut semata-mata untuk turut sama dalam fenomena yang melanda industri memancing tanah air.

 

 

Buat seketika ikan sasaran jigging ringan terutamanya talang menjadi spesies ikan yang begitu popular. Maka ramailah pemancing berlumba-lumba memuat turun hasil jigging ringan di laman sosial seperti Facebook. Pendek kata, gambar ikan talang yang ditumpaskan pemancing bertaburan Facebook.

 

Begitu juga dengan pengusaha-pengusaha atau tekong-tekong yang menyediakan pakej memancing. Dalam masa yang singkat, pertambahan tekong jigging umpama cendawan tumbuh selepas hujan. Trip jigging talang umpama pisang goreng panas. Secara tidak langsung ia meningkat dan merancakkan lagi industri memancing yang agak sepi dan statik.

 

 

Apabila pancingan jigging perlahan atau slow jigging mula menjadi teknik memancing paling digemari, buat seketika populariti spesies talang ini bertahan. Namun sedikit demi sedikit popularitinya merudum berikutan konsep utama jigging perlahan itu sendiri adalah mensasarkan spesies ikan demersal seperti jenahak, kerapu, merah dan ibu gelama yang sebelum ini hanya berjaya dijinakkan melalui teknik pancingan konvensional iaitu pancingan dasar menggunakan umpan alami.

 

 

Dalam masa singkat, terutamanya apabila teknik pancingan jigging perlahan menjadi fenomena dalam sukan memancing tanah air, talang tidak lagi menjadi spesies sasaran utama. Khususnya dalam teknik pancingan jigging perlahan ini.

 

Sebaliknya spesies demersal seperti jenahak dan kerapu pula yang menjadi trophi bagi setiap trip memancing (jigging). Dalam masa yang sama, trip pancingan light jigging turut berganti kepada trip slow jigging. Atau dalam erti kata lainnya, hampir tiada lagi trip memancing talang melainkan nama jenahak dan kerapu sahaja yang menjadi judul sesuatu trip.

 

 

Kemuncaknya, status populariti talang jatuh ke tahap paling bawah apabila ia seperti tidak diiktiraf sebagai hasil tangkapan dalam sesuatu trip jigging perlahan. Untuk bergambar dengan talang sekalipun ada pemancing yang tidak sudi. Bahkan trip itu dianggap gagal sekiranya hanya talang yang berjaya dibawa pulang.

 

Namun, mutakhir ini tatkala spesies pujaan seperti makin culas untuk membaham jig keramat dan khuatir trip berakhir dengan kegagalan mutlak, jauh di sudut hati kembali berharap agar spesies talang yang dipinggirkan ini sudi memberikan sedikit hiburan.

 


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply