Daun pudina bukan saja digunakan dalam masakan tapi juga minuman. Memang berbaloi tanam di rumah terutama kalau suka dengan baunya yang segar.
Jika nak mudah, boleh tanam menggunakan kaedah pucuk. Ini juga kaedah cepat untuk membiakkan pokok. Boleh dapat berpuluh-puluh pokok pudina dalam tempoh tak sampai sebulan. Cara tanam pokok pudina menggunakan kaedah ini dikongsi oleh Agro Tani.
Tanam pokok pudina guna pucuk lebih mudah membiak
Masa mula-mula nak tanam pudina, saya beli dua pasu kecil dari nurseri. Satu pasu berharga RM10, kiranya saya habiskan RM20 untuk dapatkan dua pasu.
Bagi saya agak mahal, tapi disebabkan isteri saya suka dengan bau pudina, saya nekad untuk beli dan biakkan pokok pudina ini. Alhamdulillah tak sampai sebulan, saya berjaya membiakkan berpuluh pasu pokok pudina.
Dua cara saya guna, pertama rendaman keratan batang ke dalam air, kedua tanam terus ke tanah menggunakan pucuk. Hasil pemerhatian saya, menggunakan pucuk lebih mudah untuk membiak.
Cara-cara tanam pudina menggunakan pucuk
1. Pemilihan medium (saya guna tanah sawit campur)
2. Saya pilih pucuk matang, saya ada sertakan gambar yang telah dilabel A dan B. Kedua-duanya adalah pucuk, yang membezakannya adalah pucuk matang dan pucuk tidak matang.
– Gambar A merujuk kepada pucuk yang kurang matang, batangnya berwarna hijau muda, peratus untuk hidup adalah kurang.
– Gambar B merujuk kepada pucuk yang telah matang, batangnya berwarna purple muda, peratus untuk hidup Insya-Allah lebih tinggi. Pilih pucuk begini.
3. Selesai memilih pucuk, cucuk pucuk tersebut ke dalam medium yang telah dipilih (pastikan medium telah digembur terlebih dahulu).
4. Siram medium sehingga basah lencun.
5. Letakkan di kawasan teduh di antara seminggu ke dua minggu.
6. Pucuk yang berjaya hidup akan sentiasa hijau dan mula menampakkan pertumbuhan.
7. Dedahkan kepada cahaya matahari secara beransur-ansur.
INFO
– Pokok pudina yang telah stabil boleh diletakkan di bawah matahari penuh
– Anak pokok boleh dibaja seusia dua minggu dalam kuantiti yang sedikit.
Selamat berkebun.
Sumber: Agro Tani
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.