Kelebihan Aktiviti Memancing Yang Ramai Tak Tahu

 

Aktiviti memancing merupakan aktiviti luar yang sangat mudah dilakukan. Boleh dikatakan hampir semua golongan peringkat usia, taraf hidup dan kesihatan boleh melakukan aktiviti memancing. Malah, bukan sahaja lelaki, golongan wanita turut berkemampuan untuk mencuba hobi ini. Tahukah anda, mereka yang memancing lebih terdedah kepada cara hidup yang lebih sihat?

 

 

Lebih sihat

 

Walaupun memancing kelihatan tidak memerlukan anda mengeluarkan banyak peluh, namun pencarian spot atau lubuk pancing yang baik memerlukan sedikit kerja keras untuk mendapatkan lokasi yang berbaloi sama ada mengayuh sampan atau bot, berbasikal ke lokasi pancing mahu pun trekking jauh ke dalam hutan. Aktiviti ini sebenarnya secara tidak langsung memberi kesan baik kepada kardiovaskular anda.

 

Selain itu, pancingan layang atau flyfishing; salah satu cabang atau teknik pancingan, juga sebenarnya membantu wanita untuk melawan penyakit kanser payudara.

 

 

Terdapat sebuah pertubuhan yang diberi nama Casting for Recovery, telah menggabung pendidikan kesedaran kanser payudara dengan sukan memancing sebagai satu langkah sokongan, terapi dan senaman.

 

Pertubuhan ini menyatakan, pergerakan lembut dalam flyfishing menyerupai senaman yang diperlukan oleh golongan yang baru melakukan pembedahan atau rawatan radiasi untuk menggalakkan tisu lembut meregang. Kumpulan ini ditubuhkan untuk wanita pelbagai peringkat usia, rawatan dan fasa penyembuhan.

 

 

Sumber nutrisi yang baik

 

Ikan merupakan sumber terbaik bagi mendapatkan asid lemak omega-3. Omega-3 amat bagus untuk menurunkan tekanan darah selain menurunkan risiko strok dan kegagalan fungsi hati. Menurut Mayo Clinic, omega-3 juga sangat baik untuk mengurangkan ketidakseimbangan kadar degupan jantung selain meningkatkan fungsi otak berkembang bagi kanak-kanak.

 

Selain kepentingan nutrisi di atas ke atas kesihatan, kajian juga menunjukkan memakan ikan mampu menyelamatkan daya penglihatan, mengurangkan risiko asma, melindungi kulit anda daripada sinaran UV dan mengurangkan risiko rheumatoid arthritis.

 

 

Hilangkan stress

 

Tanyalah kepada pemancing di luar sana, merasai tentangan ikan di hujung tali pancing cukup untuk membuang segala tekanan dan keserabutan dalam kepala.

 

Menurut Frank Peterson, presiden dan CEO kepada Recreational Boating and Fishing Foundation, “Memancing merupakan satu aktiviti yang mengurangkan tekanan dan dalam masa yang sama menimbulkan rasa keseronokan”.

 

Menurut data Recreational Boating and Fishing Foundation dan Outdoor Foundation, 9% warga Amerika berkira-kira untuk mencuba sukan memancing di mana 38% daripada jumlah itu berminat oleh kerana mahu mengurangkan tekanan atau stress sama ada tekanan daripada segi mental atau fizikal.

 

 

Kombinasi melakukan aktiviti yang santai dan senaman ringkas juga membantu kepada mereka yang mengalami PTSD (post traumatic stress disorder). Satu kajian pada tahun 2009 menunjukkan aktiviti memancing dapat mengurangkan simptom PTSD dan meningkatkan mood bagi mereka yang mengalami kecelaruan.

 

Selepas tiga hari melakukan aktiviti flyfishing, laporan menunjukkan pengurangan sebanyak 32% rasa bersalah dan 43% rasa kemarahan. Perasaan takut juga menurun sebanyak 30% dan 36% perasaan kesedihan menurun. Kesan positif ini kekal sehingga lebih sebulan selepas mereka menjalani terapi memancing ini.

 


Posted

in

by

Tags:

Comments

Leave a Reply