Legasi Pak Kaduk Bicara Perihal Sumpahan Ikan Tapah

 

“Mulai hari ini dan kehadapan, aku tidak menyabung lagi, dan aku, anak isteri aku, cucu cicit aku, piyat-piyut, empas-empas endaun, entahkan ia entahkan bukan tidak boleh makan, menganiaya atau mengkhianati akan ikan Tapah. Barangsiapa melanggar sumpah aku, akan mendapat sakit gatal, melecur dan bengkak-bengkak, kiranya tahan badan tidak selamat hidupnya….!”

 

Begitulah kisah sumpah Pak Kaduk yang diketahui ada kaitan dengan lagenda ikan tapah sehingga kini.

 

 

Ramai diantara kita sudah mengetahui cerita Pak Kaduk yang telah menang dalam perlawanan sabung ayam tetapi kampung halaman serta anak isterinya tergadai. Tetapi ramai yang tidak sedar cerita ini ada kaitan dengan segolongan masyarakat Melayu, khususnya penduduk-penduduk di negeri Perak yang pantang makan ikan tapah.

 

Pantang larang memakan ikan itu ada kaitan dengan cerita Pak Kaduk yang membuat sumpahan tidak membenarkan keturunannya memakan ikan tapah. Sehingga kini sumpahan itu dipercayai belum berakhir. Orang-orang yang kononnya pantang makan ikan tapah itu berasal daripada keturunan Pak Kaduk serta kaum kerabatnya.

 

 

Manakala bagi orang luar yang berkahwin dengan anggota keturunan Pak Kaduk ini juga akan terkena sumpahan itu.

 

Keturunan Pak Kaduk kebanyakannya berada di Lambor Kiri, Lambor Kanan, Pulau Tiga dan Bota yang terletak dalam daerah Perak Tengah.

 

Mereka yang termasuk dalam golongan itu kononnya akan terkena penyakit kulit yang disebut semali iaitu pecah-pecah kulit dan berair serta terasa gatal-gatal sehingga ke tulang jika termakan ikan tapah. Di samping itu, kulit mereka seperti melecur,sakit sendi dan tulang.

 

 

Menurut Haji Daharun bin Haji Yajit, peristiwa Pak Kaduk itu berlaku ratusan tahun lalu di kampung Lambor Kiri iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud Iskandar Syah Almarhum Aulis Allah Geronggong Perak.

 

Menurut seorang daripada keturunan ke-9 Pak Kaduk, Hajah Asmah bt Pandak Logam, ada menyimpan khazanah Pak Kaduk iaitu tiga butir kerongsang atau kancing emas yang dijadikan penawar penyakit sumpahan itu.

 

Katanya lagi, kerongsang tersebut sepatutnya di simpan oleh adiknya, Izham bin Pandak Logam,yang merupakan pewaris terdekat dan menetap di Selayang Bahru, Selangor.

 

 

Sementara Haji Daharun yang menetap di Kampung Tua, Lambor Kanan bersetuju dengan tindakan tersebut supaya memudahkan pesakit pulang ke kampung halaman untuk berubat. Katanya lagi, seboleh-bolehnya emas kerongsang tersebut tidak di bawa keluar dari Lambor Kanan.

 

Dalam temubual dengan Hajah Asmah di rumahnya di Kampung Tua, Lambor Kanan, beliau mendakwa kerongsang itu telah mengubati ribuan orang yang terkena penyakit Semali berikutan termakan ikan Tapah.

 

Katanya, penyakit tersebut berupa melecur kulit, sakit sendi dan tulang, akan hilang apabila meminum air yang direndam dengan tiga butir kerongsang tersebut.

 

Tiga keping kerongsang emas itu berbentuk potongan wajik, ukurannya dua inci bertatahkan batu delima yang dikatakan telah berusia lebih 900 tahun, Ini adalah satu daripada tiga barang emas kepunyaan Pak Kaduk diperbuat daripada emas urai yang dijumpai oleh Pak Kaduk dalam perut ikan Tapah.

 

 

Menurut Hajah Asmah, tidak ada syarat yang dikenakan bagi mereka yang berubat. Mereka cuma dikehendaki minum air rendaman emas itu ataupun mandi dengan air itu supaya badan yang melecur terubat.

 

“Kerongsang emas itu dikatakan tidak boleh digadai dan diperbuat sebarangan seperti dipinjamkan kepada orang lain”, katanya.

 

Kebanyakan yang datang berubat termasuk orang dari Johor, Pahang, Kuala Lumpur dan lain-lain mereka adalah keturunan Pak Kaduk yang telah berhijrah ke tempat lain.

Hajah Asmah juga memberitahu hanya kerongsang itu sahaja yang boleh mengubati penyakit sumpahan ikan Tapah dengan izin Allah s.w.t.

 

 

Beliau menceritakan tentang seorang wanita dari Perak yang terkena penyakit semali telah berubat dengan doktor, tetapi keadaan kulitnya yang melecur tidak boleh diubati selama hampir tiga tahun.

 

Bagaimanapun, keadaannya dikatakan pulih setelah wanita itu datang berubat dengan meminum air rendaman kerongsang emas itu.

 


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply